2 pelancong maut terjatuh jambatan gantung di Indonesia

2 pelancong maut terjatuh jambatan gantung di Indonesia

Pihak berkuasa berkata papan kayu lantai jambatan gantung itu patah ketika dua mangsa melintas, menyebabkan mereka terjatuh ke sungai.

Mayat dua warga Austria itu ditemui Ahad lalu selepas mereka terjatuh dari jambatan gantung setinggi kira-kira 20m di kawasan Air Terjun Cunca Wulang, Pulau Flores. (Gambar Maumera Basarnas Doc)
JAKARTA:
Dua warga Austria maut selepas terjatuh dari jambatan gantung setinggi kira-kira 20m di kawasan Air Terjun Cunca Wulang, Pulau Flores, Indonesia, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Pihak berkuasa pada Isnin memaklumkan kejadian berlaku apabila papan kayu lantai jambatan itu patah ketika dua pelancong itu melintas, menyebabkan mereka terjatuh ke sungai di bawah jambatan. Kawasan terbabit merupakan destinasi pelancongan popular yang terletak kira-kira dua jam perjalanan dari pusat peranginan Labuan Bajo.

Mayat lelaki berusia 55 tahun dan wanita berusia 57 tahun itu ditemui Ahad lalu, menurut ketua agensi mencari dan menyelamat tempatan, Fathur Rahman.

Pemandu pelancong pasangan itu memberitahu portal berita Hey Bali News, beberapa papan kayu lantai jambatan itu tiba-tiba patah ketika mangsa melintas.

“Mereka berjalan beriringan sambil tersenyum ke arah kamera. Tiba-tiba saya terdengar bunyi kayu patah yang sangat kuat, seperti dahan pokok besar tumbang,” katanya kepada pemberita.

Dalam tempoh beberapa saat, beberapa papan lantai jambatan patah menyebabkan kedua-dua pelancong itu jatuh kira-kira 20m ke sungai di bawah. Gambar yang disiarkan media tempatan menunjukkan satu lubang besar pada jambatan gantung berkenaan.

Hey Bali News melaporkan jambatan gantung di kawasan pedalaman Indonesia lazimnya dibina menggunakan bahan tempatan dan tidak diperiksa secara berkala.

Kemalangan maut di lokasi tarikan semula jadi terpencil bukan perkara luar biasa di Indonesia. Disember lalu, empat daripada enam sekeluarga dari Sepanyol maut selepas bot dinaiki mereka terbalik di perairan Flores.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.