
IDEAS berkata, kemajuan kecil tersebut dibayangi kemerosotan ketara dalam penyertaan awam, di mana skornya jatuh daripada 28 kepada 20, daripada 100. Selain itu, kelemahan pemantauan Parlimen berterusan dengan skor menurun daripada 43 kepada 41.
“Walaupun terdapat peningkatan dalam ketelusan, Malaysia terus ketinggalan berbanding rakan serantau seperti Thailand (53), Indonesia (71), dan Filipina (76),” kata badan pemikir itu dalam kenyataan.
IDEAS menyumbang kepada penilaian Malaysia dalam OBS, yang membandingkan data ketelusan belanjawan daripada 82 negara selama lebih sedekad.
OBS menilai akses awam terhadap maklumat belanjawan kerajaan persekutuan, peluang rasmi untuk orang awam mengambil bahagian dalam proses belanjawan, serta peranan institusi pengawasan belanjawan seperti Parlimen dan pejabat audit negara.
IDEAS berkata, apa yang lebih kritikal ialah Malaysia kekal berada di bawah skor tanda aras minimum 61 untuk ketelusan, iaitu ambang yang menunjukkan maklumat belanjawan yang mencukupi tersedia untuk pemahaman dan penelitian awam yang bermakna.
Badan itu berkata, faktor utama di sebalik penurunan tahap ketelusan adalah pemberhentian penerbitan kertas perundingan awam (PCP). Dokumen itu yang mula diperkenalkan semasa Belanjawan 2023, bertujuan mengumpul maklum balas rakyat mengenai isu dasar utama, termasuk subsidi bersasar, pembangunan mampan, dan perolehan hijau.
“PCP merupakan satu perkembangan yang dialu-alukan dan sepatutnya diinstitusikan sepanjang kitaran belanjawan,” kata IDEAS.
IDEAS berkata, usaha libat urus juga harus mengutamakan komuniti yang kurang diwakili dan terpinggir, termasuk orang kurang upaya (OKU) dan masyarakat Orang Asli.
Mengenai skor pemantauan Malaysia yang menurun kepada 41, IDEAS menyatakan perkara tersebut menonjolkan kelemahan berterusan dalam penelitian badan perundangan terhadap proses belanjawan.
“Walaupun pemantauan audit kekal agak kuat, pengawasan Parlimen semasa peringkat perancangan dan pelaksanaan masih tidak mencukupi,” katanya.
Syor OBS
Laporan OBS bagi Malaysia memperakui bahawa Kementerian Kewangan telah mewujudkan platform dalam talian dan perundingan digital semasa peringkat penggubalan serta pelaksanaan belanjawan.
Bagi memperkukuh lagi penyertaan awam, laporan itu mencadangkan agar kementerian memberi keutamaan untuk terlibat aktif bersama komuniti kurang diwakili, sama ada secara langsung atau melalui organisasi masyarakat sivil (CSO).
Laporan tersebut turut menyatakan, Dewan Rakyat sepatutnya membenarkan orang awam atau CSO memberi keterangan semasa pendengaran, mengenai cadangan belanjawan sebelum ia diluluskan, serta semasa pendengaran laporan audit.
Syor menambah baik pemantauan termasuk memperkenalkan proses di mana badan perundangan boleh membahaskan dasar belanjawan, sebelum dokumen belanjawan berkenaan dibentangkan secara rasmi di Parlimen.