Ahli politik sumber bantuan terpantas bagi orang miskin, kata Ahli Parlimen

Ahli politik sumber bantuan terpantas bagi orang miskin, kata Ahli Parlimen

Wong Shu Qi berkata, keluarga yang kesempitan kerap mohon bantuan wakil rakyat untuk bayar yuran sekolah serta tampung belanja harian.

Wong Shu Qi
Ahli Parlimen DAP Wong Shu Qi berkata, wang dalam politik tidak semestinya dilihat secara negatif, memandangkan wakil rakyat perlu dana agar dapat berkhidmat kepada rakyat dengan lebih baik.
KUALA LUMPUR:
Masih banyak keluarga miskin yang bergantung pada ahli politik untuk mendapatkan bantuan makanan, yuran persekolahan dan perbelanjaan harian, sekali gus mencerminkan bagaimana jangkaan terhadap kebajikan sudah sebati dalam budaya politik tempatan, kata Ahli Parlimen Kluang Wong Shu Qi.

Ahli Parlimen DAP itu berkata, wakil rakyat sering kali diharapkan tampil memberi bantuan kewangan segera kerana keluarga yang kesempitan menganggap ahli politik sebagai sumber bantuan yang paling pantas.

“Mungkin tidak begitu ketara dalam kalangan kelas pertengahan di Bangsar atau Petaling Jaya, tetapi ramai dalam kalangan penduduk B40 harapkan wakil rakyat mereka untuk bantu selesaikan masalah,” katanya pada sesi perbincangan bertajuk ‘Who Pays, Who Plays, Who Decides?’.

Acara tersebut dianjurkan oleh badan pemikir Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas), yang turut mengeluarkan laporan bertajuk ‘How costly are political parties?’.

Menurut laporan itu, di Malaysia, ahli politik diharapkan memberikan sumbangan dan bantuan kewangan semasa majlis perkahwinan serta ketika kelahiran, kesakitan dan kematian, agar mereka kekal relevan pada peringkat akar umbi.

Laporan itu juga mendedahkan, sebahagian kos perbelanjaan politik ditampung melalui sumber awam seperti dana pembangunan kawasan pilihan raya, dengan anggaran menunjukkan bahawa kos operasi asas pejabat kawasan sahaja mampu mencecah kira-kira RM156,000 setiap tahun.

Wong mengimbau pengalamannya membantu sebuah keluarga dengan tujuh anak, termasuk seorang bayi yang baru lahir pada Ramadan. Si ibu tidak dapat membuka gerainya manakala si suami terpaksa menjaga enam anak yang lain.

Beliau turut memetik kes seorang ahli politik berpengalaman yang memberitahunya bahawa orang ramai sering beratur di luar rumahnya untuk memohon bantuan kewangan.

“Keadaan ini sudah berlarutan bertahun-tahun. Bagaimana kita hendak pecahkan kitaran ini? Orang ramai harap kita bantu,” katanya, mengaitkan keadaan ni dengan kesempitan hidup.

“Ahli politik juga mahu jaga pengundi (yang minta bantuan).”

Beliau berkata, wang dalam politik tidak semestinya dilihat secara negatif, memandangkan Ahli Parlimen dan Adun memerlukan dana untuk memastikan pusat khidmat beroperasi, membayar gaji kakitangan dan berkhidmat kepada orang awam dengan berkesan.

“Bolehkah kita wujudkan satu struktur di mana wakil rakyat peroleh dana yang mencukupi untuk mengekalkan (operasi) pusat khidmat di kawasan mereka?

“Perlahan-perlahan, kita perlu teliti pendekatan yang lebih baik, agar ahli politik boleh fokus pada dasar,” katanya menambah, bantuan bersasar boleh membantu keluarga dan membolehkan Jabatan Kebajikan untuk menguruskan golongan yang memerlukan dengan lebih baik.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.