
Pengerusinya, Dr Zaliha Mustafa berkata, ini susulan cadangan unjuran penstrukturan yang dianggarkan mencecah RM3 billion itu menimbulkan kebimbangan awam.
“Walaupun memahami serta menyokong keperluan pengukuhan fiskal negara dalam suasana ekonomi semasa, BBC berpandangan bahawa satu pelan mitigasi yang jelas, konklusif dan menyeluruh wajar dibentangkan kepada rakyat.
“(Ini) bagi memastikan sebarang pelarasan peruntukan tidak menjejaskan mutu perkhidmatan kesihatan awam negara,” katanya dalam kenyataan.
Beliau menambah, pelaksanaan inisiatif dalam Kertas Putih Kesihatan turut perlu disegerakan, termasuk peralihan kepada sistem penjagaan kesihatan lebih menyeluruh dan berteraskan kesejahteraan rakyat.
“Pengenalan Pelan Insurans dan Takaful Perubatan dan Kesihatan (MHIT) Asas wajar disegerakan sebagai mekanisme pembiayaan alternatif bagi mengurangkan kebergantungan sepenuhnya kepada dana persekutuan,” katanya.
BBC turut mencadangkan kerajaan menangguhkan pembinaan hospital baharu dan memberi tumpuan kepada naik taraf fasiliti sedia ada serta memperkukuh pengeluaran ubat dan peranti perubatan tempatan.
Selain itu, kelangsungan Skim Perubatan Madani juga harus diteruskan bagi mengurangkan kesesakan di hospital awam.
“Dalam meneliti usaha pengukuhan fiskal negara, kebajikan dan kelangsungan barisan hadapan kesihatan mesti kekal sebagai keutamaan,” katanya.
“Penstrukturan belanjawan perlu dilaksanakan secara teliti bagi mengelakkan kesan rantaian terhadap beban tugas, isu kelesuan melampau serta penghijrahan tenaga pakar ke sektor swasta yang boleh menjejaskan kapasiti sistem kesihatan awam negara dalam jangka panjang.”
Terdahulu, Kementerian Kewangan memaklumkan cadangan pelarasan perbelanjaan operasi bagi Kementerian Kesihatan (KKM) dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) hanya melibatkan perkara tidak kritikal, dengan perbelanjaan utama kekal seperti diluluskan dalam Belanjawan 2026.
Kedua-dua kementerian merupakan antara penerima peruntukan tertinggi dalam belanjawan yang keseluruhannya bernilai RM470 bilion itu.