
Ketua Pengarah Kesihatan, Mahathar Abd Wahab, berkata semua jabatan terlibat dengan latihan siswazah wajib menyeragamkan jadual kepada tiga waktu kerja fleksi utama iaitu syif pagi, petang dan malam.
“Pengurangan kepada dua waktu kerja fleksi atau sistem ‘on-call’ adalah tidak dibenarkan bagi PPS,” katanya dalam surat edaran.
Mahathar berkata, dalam situasi kekurangan PPS, beban kerja syif petang dan malam tidak boleh dipindahkan kepada PPS yang bertugas di syif pagi.
“Sebaliknya perkhidmatan klinikal bagi syif tersebut perlu diteruskan sepenuhnya oleh pegawai perubatan (MO) dan pakar di jabatan terlibat demi menjamin waktu rehat PPS,” katanya.
Ketetapan itu menyusul dakwaan PPS bekerja sehingga 10 hingga 15 jam lebih masa tanpa bayaran, seperti dibangkitkan Malaysian Medics International (MMI).
Menurut MMI, PPS didakwa terpaksa bekerja antara 65 hingga 85 jam seminggu sehingga mencetuskan isu kepenatan melampau.
Mengulas lanjut, Mahathar berkata KKM tidak akan berkompromi dalam soal hak cuti doktor pelatih termasuk larangan keras terhadap amalan pentadbiran mengelirukan.
“Amalan menolak atau menggantikan jumlah cuti rehat PPS dengan cuti sakit adalah tidak tepat dan sama sekali tidak dibenarkan,” katanya.
Katanya, setiap PPS tetap berhak mendapat satu hari penuh hari kelepasan mingguan (HKM) dalam setiap tujuh hari bertugas walaupun semua hari termasuk hujung minggu dan cuti umum dianggap sebagai hari bekerja bawah sistem fleksi.
Menurutnya, HKM tersebut mestilah hari pelepasan mutlak tanpa sebarang penugasan klinikal atau arahan hadir ke hospital.
“Bagi PPS yang diarahkan bertugas pada hari kelepasan am, mereka layak diberikan cuti gantian yang perlu dihabiskan dalam tempoh penempatan semasa,” katanya.