
Pertama, membabitkan seorang anggota polis dipercayai terlibat kejadian langgar lari seorang anggota trafik di Jalan Sultan Yahya Petra, Kuala Lumpur, 3 April lalu.
Kejadian kedua pula berlaku pada 20 April apabila seorang lelaki disyaki menumbuk bapanya hingga maut di sebuah rumah di Kampung Masjid Baung Bayam, Kota Bharu, Kelantan.
FMT merungkai isu ini sama ada skizofrenia benar-benar menjadikan seseorang berbahaya, atau sebenarnya wujud faktor lain seperti kegagalan rawatan dan sokongan yang meningkatkan risiko.
Kebanyakan pesakit boleh hidup normal
Pakar Psikologi Universiti Pendidikan Sultan Idris, Fauziah Mohd Saad, berkata isu skizofrenia tidak boleh dilihat secara hitam putih.

Katanya, majoriti pesakit sebenarnya mampu hidup stabil, bekerja dan berfungsi seperti biasa jika menerima rawatan konsisten serta sokongan keluarga dan komuniti.
“Peningkatan kes skizofrenia bukan sekadar isu angka, tetapi isyarat pengesanan awal dan sokongan komuniti masih perlu diperkukuh,” katanya kepada FMT.
Beliau berkata, peningkatan kes hari ini juga sebahagiannya mencerminkan lebih ramai pesakit berjaya dikenal pasti, namun pada masa sama mendedahkan jurang dalam rawatan berterusan.
Tanda awal sering terlepas pandang
Dari sudut klinikal, skizofrenia biasanya berkembang secara berperingkat, bukan berlaku secara tiba-tiba.
Antara tanda awal termasuk perubahan tingkah laku, pengasingan diri, gangguan tidur, kecurigaan melampau serta kemerosotan prestasi kerja atau pelajaran.
Namun, tanda ini sering disalah tafsir sebagai tekanan biasa atau masalah peribadi, menyebabkan rawatan lewat diberikan.
“Jika pesakit hanya dikesan selepas berlaku krisis, itu menunjukkan kita masih bergantung kepada pendekatan reaktif, bukan pencegahan,” kata Fauziah.
Risiko bukan kerana diagnosis semata-mata
Fauziah menjelaskan, risiko dalam kalangan pesakit skizofrenia biasanya berlaku apabila beberapa faktor bertindih.
Antara yang utama ialah ketidakpatuhan terhadap ubat dan rawatan susulan. Tanpa rawatan, simptom seperti halusinasi dan delusi boleh kembali dan menjejaskan pertimbangan realiti.
Selain itu, ada pesakit tidak mempunyai kesedaran terhadap penyakit mereka, menyebabkan menolak rawatan.
Stigma masyarakat turut memburukkan keadaan apabila pesakit dan keluarga takut mendapatkan bantuan awal, sekali gus menyebabkan pesakit semakin terasing.
“Pesakit menjadi berisiko bukan kerana diagnosis semata-mata, tetapi apabila simptom tidak terkawal dan rawatan terputus,” katanya.
Jurang besar pada sokongan komuniti
Menurut Fauziah, kelemahan utama ketika ini ialah sistem sokongan komuniti yang masih tidak mencukupi.
Katanya, pesakit tidak boleh hanya dirawat di hospital ketika krisis dan kemudian dihantar pulang tanpa pemantauan berterusan.

Sebaliknya, mereka memerlukan sokongan menyeluruh termasuk pemantauan ubat, lawatan susulan, intervensi psikososial serta penglibatan keluarga.
Tanpa pemantauan ini, pesakit berisiko mengalami kemerosotan semula tanpa disedari sehingga berlaku insiden lebih serius.
Perlu ubah pendekatan sistem
Fauziah berkata, pendekatan kesihatan mental perlu beralih daripada terlalu bergantung kepada hospital kepada model berasaskan komuniti.
“Pesakit tidak boleh hanya dirawat ketika krisis di hospital; mereka perlu dipantau dan disokong secara berterusan dalam komuniti,” katanya.
Selain itu, beliau menekankan keperluan menambah tenaga pakar kesihatan mental serta memperluas intervensi awal, khususnya bagi golongan muda dan berisiko.
Menurutnya, kes yang berlaku perlu dilihat sebagai peringatan untuk memperbaiki sistem, bukan alasan melabel semua pesakit sebagai berbahaya.
“Menerusi rawatan konsisten dan sokongan mencukupi, ramai pesakit skizofrenia mampu hidup stabil dan selamat dalam masyarakat,” katanya.