
Ketua Polis Kuala Lumpur Fadil Marsus, berkata suspek berusia 40 tahun itu ditahan petang semalam selepas dikejar dari Jalan Cheras hingga Jalan Chan Sow Lin.
Katanya, suspek juga disahkan disahkan seorang pegawai polis berpangkat Inspektor yang mempunyai masalah kesihatan mental iaitu skizofrenia dan sedang menerima rawatan berkaitan.
“Semakan lanjut mendapati suspek sedang menjalani cuti perubatan khas dan dalam proses untuk dibersarakan (syor oleh Lembaga Perubatan).
“Kes disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana memandu secara melulu serta menghalang penjawat awam menjalankan tugas,” katanya dalam satu kenyataan.
Dalam kejadian kira-kira 10.47 malam itu, mangsa Roslan Salleh, 27, sedang menjalankan tugas mengawal lalu lintas di kawasan petak kuning sebelum dilanggar dari arah belakang oleh sebuah kereta Perodua Axia.
Kejadian itu menyebabkan mangsa mengalami kecederaan termasuk luka di tapak tangan kanan dan belakang kepala selain sakit di bahagian rusuk.
Fadil berkata, susulan kejaddian itu, polis berjaya mengesan kenderaan terbabit di sekitar Cheras kira-kira 3.45 petang semalam dan cuba menahan suspek tetapi lelaki itu bertindak melarikan diri.
“Pemandu itu bertindak melarikan diri secara berbahaya dengan melanggar beberapa buah kenderaan lain, sekali gus mencetuskan insiden kejar-mengejar dari Jalan Cheras hingga ke Jalan Empat, Chan Sow Lin.
“Suspek juga melanggar beberapa kenderaan awam termasuk sebuah Mercedes-Benz dan Proton Saga, serta beberapa kenderaan lain yang masih belum tampil membuat laporan polis,” katanya.
Menurutnya, suspek akhirnya berjaya ditahan oleh anggota polis trafik dengan bantuan Unit MPV dari IPD Cheras dan IPD Brickfields di Jalan empat, Chan Sow Lin.
Katanya, hasil pemeriksaan mendapati tiada barang salah ditemui, manakala ujian pernafasan alkohol menunjukkan keputusan negatif. Suspek akan menjalani ujian saringan air kencing bagi melengkapkan siasatan.
Setakat ini, sebanyak tujuh pemandu tampil membuat laporan polis, melibatkan lima kenderaan milik orang awam, satu MPV polis dan satu motosikal milik pegawai polis.
“Polis menyeru mana-mana pihak yang terlibat dalam kejadian ini agar segera tampil membuat laporan di mana-mana Balai Polis Trafik berhampiran,” katanya.