KKM digesa segerakan ketetapan status 200 pegawai psikologi

KKM digesa segerakan ketetapan status 200 pegawai psikologi

Bekas senator, Dr RA Lingeshwaran, kata kontrak mereka dilanjut empat kali sejak 2021.

kkm
Bekas senator, Dr RA Lingeshwaran, seru KKM beri jaminan atau penjelasan kepada 200 pegawai psikologi sebelum tarikh tamat kontrak.
PETALING JAYA:
Kementerian Kesihatan (KKM) digesa menyegerakan ketetapan status 200 pegawai psikologi (kaunseling) yang kontrak mereka dilanjut empat kali sejak 2021, menurut seorang bekas senator.

Dr RA Lingeshwaran, menggesa KKM memberikan jaminan atau penjelasan kepada pegawai berkenaan sebelum tarikh tamat kontrak pada Ogos 2026 agar mereka dapat merancang masa depan kerjaya.

“Ketidakpastian status pekerjaan selama bertahun-tahun memberikan tekanan yang tidak sepatutnya kepada para petugas ini,” menurut kenyataan.

Merujuk jawapan KKM di Dewan Negara baru-baru ini, Lingeshwaran berkata 200 pegawai berkenaan dilantik secara ‘contract for service’ (CFS) kali pertama pada 2021, diikuti pelanjutan pada 2022 dan 2024, dan dijadualkan berakhir pada 2 Ogos.

Beliau mengambil maklum KKM sedang memperhalusi cadangan hala tuju bagi perkhidmatan pegawai-pegawai berkenaan sebelum dikemukakan kepada Kementerian Kewangan (MoF) dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), namun menggesa proses itu disegerakan agar mereka mungkin boleh ditawarkan ‘contract of service’ (COS) atau jawatan tetap.

Lingeshwaran mengingatkan bahawa pegawai psikologi (kaunseling) memainkan peranan kritikal dalam memberikan sokongan emosi, intervensi krisis, dan khidmat kaunseling kepada pesakit dan kakitangan KKM yang sering berhadapan tekanan kerja yang tinggi.

“Kegagalan untuk mengekalkan tenaga pakar ini akan menjejaskan kualiti penyampaian perkhidmatan kesihatan mental negara pada masa akan datang,” tegasnya.

“KKM perlu bertindak pantas bagi memastikan sistem sokongan kesihatan mental negara tidak lumpuh akibat kehilangan tenaga kerja yang berpengalaman luas ini.”

Menurut laman JPA, COS mengguna pakai skim perkhidmatan, gred dan kadar gaji sebagaimana yang ditetapkan di dalam perkhidmatan awam, manakala CFS tidak mengguna pakai sebarang skim perkhidmatan, gred jawatan dan kadar gaji sebagaimana yang ditetapkan dalam perkhidmatan awam.

Pelantikan CFS dipohon kepada MoF bagi menetapkan syarat-syarat perkhidmatan yang tertentu.

Menurut Lingeshwaran, faedah dan kemudahan bagi pegawai CFS adalah terhad kepada apa yang ditetapkan dalam kontrak pembelian perkhidmatan sahaja, berbeza dengan pegawai COS yang tertakluk kepada dasar dan tatacara pelantikan secara COS yang lebih menyeluruh.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.