
Jakir Hossain, 51, membuat pengakuan itu selepas dua pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Aina Azahra Arifin.
Dia didakwa memiliki dan menggunakan MyKad milik Lim Mei Cheow dan Yap Thin Wuei di sebuah stesen Shell di Jalan Pahang, Wangsa Maju tanpa kuasa sah atau alasan munasabah, bagi membeli petrol bersubsidi.
Kesalahan itu dilakukan antara 8 April hingga 22 April.
Pertuduhan dikemukakan di bawah Peraturan 25(1)(o) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990, yang memperuntukkan denda maksimum RM20,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
Aina mengenakan denda RM5,000 bagi setiap pertuduhan.
Beliau turut memerintahkan Jakir menjalani hukuman penjara tujuh bulan bagi setiap kesalahan, sekiranya gagal membayar denda.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Hench Goh manakala tertuduh diwakili peguam Carmen Low.