Tambah kategori dikecualikan MyTravelPass, kata Pua

Tambah kategori dikecualikan MyTravelPass, kata Pua

Ahli Parlimen DAP itu berkata, proses yang lembap dan sarat dengan birokrasi mungkin menggugat kehidupan ribuan rakyat Malaysia.

Ahli Parlimen DAP Tony Pua berkata, tiada sebab untuk menyekat rakyat Malaysia yang telah lengkap divaksin daripada mengembara ke luar negara.
PETALING JAYA:
Kerajaan digesa meluaskan kriteria pengecualian MyTravelPass (MTP) supaya turut merangkumi mereka yang mendapat tawaran kerja di luar negara, pasangan serta suami isteri dan permohonan kecemasan oleh penjaga termasuk bukan ahli keluarga.

Ahli Parlimen Damansara Tony Pua daripada DAP berkata, proses yang lembap dan sarat dengan birokrasi untuk golongan itu mungkin menggugat kehidupan ribuan rakyat Malaysia.

Jabatan Imigresen mengumumkan pengecualian daripada memohon untuk MTP bagi segelintir pengembara bermula 1 Okt. Ini termasuk pelajar yang mahu ke luar negara untuk pelajaran atau peperiksaan bersama dua pengiring; kecemasan seperti melibatkan kematian atau penyakit kritikal; dan menziarah suami atau isteri di luar negara bagi perkahwinan yang tidak didaftarkan di negara ini.

Mereka yang mengambil bahagian dalam acara sukan, seminar, mesyuarat, dan misi bantuan kemanusiaan turut dikecualikan.

Dalam kenyataan, Pua berkata, sejak sidang media diadakannya berhubung isu MTP itu, beliau telah menerima emel daripada ramai individu mengadu mengenai proses lembap Jabatan Imigresen.

Katanya, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob patut mendengar rayuan rakyat yang bergelut untuk meneruskan kehidupan terutama dengan sekatan dikenakan berhubung kriteria MTP.

“Tiada sebab untuk menghalang rakyat Malaysia yang telah lengkap divaksin daripada mengembara ke luar negara, asalkan mereka dibenarkan memasuki negara destinasi.

“Mereka yang mengembara ke luar negara masih akan diwajibkan kuarantin sebaik kembali ke sini untuk mengelak penyebaran jangkitan.

“Menghentikan MyTravelPass secara berperingkat adalah komponen kritikal dalam pemulihan ekonomi Malaysia kerana ia akan memainkan peranan penting dalam menghidupkan semula industri pelancongan kita yang nazak,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.