
Presiden Sri Ganesh Michiel berkata, walaupun mereka menghargai usaha libat urus oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac), industri kini memerlukan penyelesaian berkesan dan nyata bukan perbincangan berpanjangan tanpa sebarang pelaksanaan.
“Justeru, kami menggesa kerajaan khususnya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) serta Kementerian Kewangan mengambil tindakan segera, bersasar dan berorientasikan keputusan dalam menangani tekanan kos yang semakin meningkat dihadapi industri.
“KPDN dan MoF perlu segera berinteraksi secara langsung dengan pemain industri bagi memahami realiti operasi yang dihadapi sektor secara mendalam,” katanya dalam kenyataan.
Mengulas lanjut, Ganesh berkata pakej pelancongan biasanya dijual beberapa bulan atau tahun lebih awal dengan kontrak yang mengikat antara agensi tempatan dan rakan antarabangsa.
Katanya, perjanjian itu menetapkan harga lebih awal sekali gus tidak memberi ruang untuk pelarasan apabila berlaku peningkatan kos yang tidak dijangka.
“Keadaan ini menjadi lebih mencabar apabila kebanyakan agensi pelancongan tidak memiliki aset pengangkutan sendiri dan bergantung kepada penyedia pihak ketiga termasuk bas pelancongan serta perkhidmatan bot dan feri yang amat penting bagi pelancongan pulau dan pesisir pantai,” katanya.
MTF turut mengemukakan empat tuntutan antaranya penyediaan subsidi bahan api atau bantuan kewangan kepada pengendali bas, bot, dan feri pelancongan serta mewujudkan mekanisme pelepasan kos sementara bagi membantu agensi yang terikat dengan kontrak lama.
Ia turut merangkumi tuntutan polisi penstabilan jangka pendek bagi mengelakkan gangguan dalam ekosistem pelancongan dan pendekatan bersepadu antara kementerian bagi memastikan intervensi cepat dan berkesan.
Pada 21 Mac lalu, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Tiong King Sing, mengarahkan kementeriannya memulakan konsultasi segera dengan MoF bagi merangka langkah bersasar menangani kesan kenaikan harga diesel terhadap sektor pengangkutan pelancongan.
Katanya, ia susulan maklum balas persatuan serta pemain industri yang terkesan akibat peningkatan kos operasi.