Perbaiki proses dokumentasi rantaian bekalan petroleum, kata pemain industri

Perbaiki proses dokumentasi rantaian bekalan petroleum, kata pemain industri

Langkah itu bagi mengelakkan ketirisan hasil yang besar.

oil tanker
Pemain industri berkata isu prosedur berkaitan pencampuran kargo minyak daripada kapal perlu diatasi segera. (Gambar Envato Elements)
PETALING JAYA:
Seorang pemain industri memberi amaran kelemahan dalam dokumentasi rantaian bekalan petroleum boleh menyebabkan ketirisan hasil yang besar.

R Jeyenderan dalam kenyataan berkata, masalah utama berlaku selepas minyak dipunggah dari kapal dan disimpan dalam tangki darat.

R Jeyendaran.

Beliau berkata, ketika berada dalam tangki, minyak itu boleh disimpan, dicampur atau diadun dengan produk lain, tetapi dokumen rasmi masih menganggapnya sebagai kargo asal.

“Jurang itu bukan berlaku di laut, tetapi selepas proses pemunggahan.

“Apabila kargo masuk ke tangki darat, ia boleh dicampur atau diadun. Namun, sistem masih menganggapnya tidak berubah,” kata ketua pegawai eksekutif Maritime Network Sdn Bhd.

Jeyenderan berkata, keadaan itu menyebabkan pihak berkaitan terus bergantung kepada Sijil Asal dan Sijil Kualiti lama, walaupun dokumen tersebut mungkin tidak lagi menggambarkan keadaan sebenar kargo.

Beliau turut membangkitkan risiko berkaitan deklarasi K8, iaitu borang kastam bagi pergerakan barangan antara gudang berlesen.

Katanya, jika deklarasi itu tidak dikemas kini selepas kargo dicampur atau diubah dalam tangki darat, ia boleh membuka ruang kepada percanggahan dan ketirisan.

“Apabila apa yang diisytiharkan tidak sama dengan apa yang dimiliki, risiko mula masuk ke dalam sistem,” katanya.

Katanya, hab petroleum utama seperti Pelabuhan Tanjung Langsat berdepan risiko lebih besar kerana jumlah aktiviti yang tinggi.

Menurutnya, walaupun perbezaan dalam dokumen kelihatan kecil, kesannya boleh menjadi besar kerana industri petroleum mengendalikan jumlah dagangan yang tinggi setiap hari.

Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan menetapkan dasar dan garis panduan lebih jelas mengenai dokumentasi selepas minyak dipunggah.

Katanya, pengawal selia perlu menyediakan rangka kerja yang tegas, pengendali terminal mesti memastikan proses fizikal telus, manakala pengimport perlu memastikan deklarasi mencerminkan keadaan sebenar kargo.

Jeyenderan berkata, sistem penjejakan digital boleh membantu, tetapi bukan penyelesaian mutlak tanpa disiplin dan kerjasama seluruh industri.

“Ini bukan sekadar isu operasi, tetapi soal kepercayaan. Jika dokumen tidak lagi mencerminkan realiti, kita bukan sahaja kehilangan hasil tetapi keyakinan terhadap sistem,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.