
Pengarah KPDN Perak Kamalludin Ismail, berkata pemeriksaan dijalankan kira-kira 12 tengah hari semalam di bawah Op Tiris 4.0 oleh sepasukan pegawai dan anggota penguat kuasa mendapati premis itu menyimpan minyak masak botol lima kilogram iaitu barang kawalan.
Beliau berkata, notis mengikut Seksyen 8 Akta Kawalan Bekalan 1961 telah dikeluarkan bagi mendapatkan maklumat berkaitan pemilikan barang kawalan tersebut.
“Hasil maklum balas mendapati premis ini mempunyai permit sah untuk menyimpan barang kawalan dan memiliki bekalan semasa minyak masak 24,060kg.
“Bagaimanapun, semakan lanjut mendapati jumlah tersebut telah melebihi dari had kuantiti sebanyak 1,000 kg yang dibenarkan dalam permit barang kawalan premis tersebut,” katanya menurut Bernama.
Kamalludin berkata, pihaknya menyita keseluruhan minyak masak berkenaan dengan nilai rampasan keseluruhan dianggar RM153,660.
“Kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana premis berkenaan disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 21 akta sama, iaitu memiliki barang kawalan dalam keadaan yang menimbulkan syak berlakunya kesalahan.
“Premis tersebut juga turut dikenakan tindakan di bawah Seksyen 14(6) Akta Timbang dan Sukat 1972 kerana menggunakan atau memiliki alat timbang yang tidak ditentusahkan dalam urusan perniagaan.”