
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Armizan Ali, berkata tangkapan itu hasil 20,020 pemeriksaan di seluruh negara, yang dijalankan antara 16 Mac hingga 22 Apr lalu.
Penyelewengan bahan api diesel dan petrol mencatatkan jumlah tertinggi daripada 362 kes yang direkodkan.
“Pecahan kes mengikut barang kawalan menyaksikan diesel sebanyak 157 kes, petrol (78 kes), gas petroleum cecair (49 kes), minyak masak (42 kes), gula (26 kes) dan tepung gandum (10 kes),” menurut kenyataan.
Langkah agresif ini menyusuli krisis tenaga dan bekalan global akibat konflik di Asia Barat.
Dalam pada itu, mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Penyelarasan Antara Agensi Penguatkuasaan (JTPAP) pada 6 Apr lalu mahu keseluruhan proses tindakan undang-undang bawah Akta Kawalan Bekalan disegerakan.
“Antara cadangan dikemukakan ialah penyediaan saluran ‘fast-track’, penetapan hakim khusus serta penyelarasan pasukan pengurusan kes antara agensi bagi mempercepatkan pelupusan kes dalam tempoh munasabah,” katanya.
Keutamaan akan diberikan kepada pendakwaan kes melibatkan kartel sindiket, manakala pendekatan perundingan akuan akan digunakan bagi kes-kes kecil.