KPDN P Pinang ambil tindakan ke atas stesen enggan jual diesel

KPDN P Pinang ambil tindakan ke atas stesen enggan jual diesel

Stesen minyak itu didakwa utama penjualan kepada pelanggan tetap.

kpdn raid stesen minyak
KPDN Pulau Pinang S Jegan bertindak ke atas sebuah stesen minyak di Hentian R&R Juru kerana enggan jual diesel kepada pemandu lori. (Gambar KPDN Pulau Pinang)
BUKIT MERTAJAM:
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang mengambil tindakan terhadap pengurusan sebuah stesen minyak di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Juru arah utara kerana enggan menjual diesel kepada pemandu lori seperti yang tular di media sosial.

Pengarahnya, S Jegan, berkata tindakan segera diambil susulan aduan awam dengan menggerakkan sepasukan lima pegawai penguat kuasa ke lokasi pada 8 malam tadi, dan hasil pemeriksaan fizikal serta semakan dokumen dan rekod mendapati stok diesel masih terdapat di stesen berkenaan.

“Siasatan lanjut mendapati pembekalan diesel B10 daripada depoh ke stesen itu berkurangan kira-kira 50% sejak Isnin lepas. Susulan itu, pihak pengurusan stesen mengutamakan penjualan kepada pelanggan tetap manakala pelanggan lain dihadkan pembelian kepada 20 liter sahaja,” katanya dalam kenyataan.

Jegan berkata, satu notis telah diserahkan kepada pengurusan stesen minyak berkenaan dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 16A(1)(b) Akta Kawalan Bekalan 1961.

Beliau berkata, KPDN Pulau Pinang akan terus mempergiatkan aktiviti penguatkuasaan bagi memastikan pematuhan undang-undang serta melindungi hak pengguna daripada sebarang penyelewengan di pasaran.

Orang ramai diminta menjadi mata dan telinga dengan menyalurkan maklumat serta aduan melalui saluran rasmi KPDN di portal e-Aduan, iaitu kpdn.gov.my atau WhatsApp di talian 019-848 8000 atau pusat panggilan 1-800-886-800 atau aplikasi Ez ADU KPDN.

Terdahulu, tular dua rakaman video seorang pemandu lori mendakwa pengurusan sebuah stesen minyak di kawasan R&R Juru tidak membenarkannya mengisi diesel atas alasan kekurangan bekalan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.