Iktibar EV Thailand buat Malaysia

Iktibar EV Thailand buat Malaysia

Ahli ekonomi berkata cabaran EV di Thailand menunjukkan Malaysia perlu mengimbangi kemampuan pengguna, pelaburan dan kesediaan ekosistem jangka panjang.

EV car charging EV Car-Charger-EV Port Station
Data menunjukkan sokongan terhadap EV masih tidak sekata, dengan kebanyakan stesen pengecas tertumpu di pusat bandar.
PETALING JAYA:
Di Thailand, peningkatan aduan berkaitan kenderaan elektrik (EV) menimbulkan persoalan besar — adakah sistem sokongan untuk pengguna gagal berfungsi dengan baik?

EV bukan sekadar kereta menggunakan bateri. Di sebalik setiap EV, perlu ada ekosistem sokongan yang lengkap termasuk stesen pengecas awam mencukupi, kemampuan servis dan pembaikan, bekalan alat ganti stabil serta sokongan selepas jualan yang memuaskan.

Data daripada Pejabat Lembaga Perlindungan Pengguna Thailand dan Majlis Pengguna Thailand menunjukkan sebanyak 1,348 aduan berkaitan EV direkodkan sejak 2024.

Menurut laporan Bangkok Post, aduan paling lazim membabitkan kecacatan dan kerosakan, manakala ratusan kes lain dikaitkan dengan penutupan pusat servis, kelewatan ketibaan alat ganti dan pertikaian berhubung bayaran balik.

Ketika Malaysia giat menggalakkan penggunaan EV, terutama ketika harga minyak meningkat dan kebimbangan terhadap kesan alam sekitar akibat bahan api karbon semakin ketara, pengalaman Thailand wajar dijadikan iktibar.

Menurut ahli ekonomi Samirul Ariff Othman, persoalannya ialah sama ada Malaysia mampu mengelakkan masalah sama dengan memastikan dasar EV bukan hanya tertumpu kepada usaha menjual lebih banyak kereta, tetapi turut membina ekosistem sokongan di sebaliknya.

Beliau memberitahu FMT, Malaysia boleh berdepan masalah serupa jika penggunaan EV dilihat terutama sebagai pasaran pengguna, bukannya sebagai usaha membangunkan ekosistem.

“EV memerlukan infrastruktur pengecasan, juruteknik terlatih, bekalan alat ganti yang boleh dipercayai, penguatkuasaan waranti, diagnostik bateri, sokongan perisian dan kapasiti selepas jualan,” katanya.

“Pengalaman Thailand menunjukkan penggunaan EV yang meningkat terlalu pantas boleh mencetuskan kekecewaan pengguna jika ekosistem servis tidak berkembang pada kadar sama,” tambah Samirul.

Data Persatuan Automotif Malaysia (MAA) menunjukkan 30,848 EV dijual pada 2025, meningkat daripada hanya 278 unit pada 2021. Pada suku pertama 2026, sebanyak 14,591 EV baharu dijual, peningkatan 113.7% berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.

Jualan yang rancak itu didorong insentif cukai, strategi harga kompetitif serta pelbagai pilihan jenama asing.

Namun, sokongan terhadap pasaran EV masih tidak sekata. Setakat April, negara mempunyai 5,619 petak pengecas awam di seluruh negara, termasuk 1,898 pengecas pantas DC.

Ini memberikan nisbah kira-kira 10 EV bagi setiap satu titik pengecasan. Bagaimanapun, kemudahan itu banyak tertumpu di kawasan bandar, menyebabkan bandar kecil dan kawasan luar bandar masih kurang diliputi.

Pemain industri sebelum ini turut membangkitkan kebimbangan berhubung kos penggantian bateri, kesiapsiagaan pembaikan dan sokongan servis yang tidak sekata di luar bandar utama.

Laluan perlu diambil 

Samirul berkata Malaysia mesti mengelak daripada terlalu bergantung kepada EV import tanpa membangunkan keupayaan industri tempatan yang mencukupi.

“Jika Malaysia terlalu bergantung kepada EV import, negara hanya meraih nilai daripada sudut penggunaan, tetapi tidak cukup daripada sudut nilai industri,” katanya.

“Ganjaran ekonomi sebenar bukan sekadar mempunyai lebih banyak EV di jalan raya. Ia terletak pada pembangunan pemasangan tempatan, bekalan alat ganti, perkhidmatan berkaitan bateri, integrasi elektronik, keupayaan perisian dan pekerjaan teknikal berkemahiran.”

Beliau berkata sebab itulah Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (Miti) semakin menekankan aspek penyetempatan serta komitmen pelaburan lebih kukuh daripada pengeluar automotif asing.

Awal tahun ini, Miti berkata syarat yang dikenakan terhadap cadangan pemasangan tempatan mencerminkan hala tuju dasar lebih luas bagi pelaburan automotif baharu.

Kementerian itu berkata keperluan tersebut bukan khusus kepada mana-mana satu syarikat, sebaliknya sebahagian daripada strategi perindustrian Malaysia yang lebih menyeluruh.

Waspada perangkap dasar 

Samirul memberi amaran tanpa pembangunan keupayaan tempatan yang lebih kukuh, Malaysia berisiko menjadi sekadar pasaran untuk EV, bukannya hab pengeluaran dan perindustrian yang serius.

“Tanpa keupayaan tempatan, Malaysia mungkin akhirnya hanya mengimport EV, bukan menghasilkan sebahagian daripadanya,” katanya.

Bagaimanapun, ahli ekonomi Geoffrey Williams mengingatkan supaya dasar tidak menjadi terlalu ketat kerana syarat berlebihan boleh menjejaskan minat pelabur asing dan mengurangkan persaingan.

Williams berkata Malaysia perlu kekal kompetitif dalam menarik pelaburan EV sambil terus memperkukuh ekosistem tempatan.

“Pasaran EV, seperti mana-mana pasaran lain, dipacu oleh harga dan kualiti,” katanya.

Beliau turut memberi amaran bahawa dasar yang dilihat terlalu melindungi industri tempatan boleh mengurangkan pilihan pengguna dan memperlahankan usaha menjadikan EV lebih mampu milik di pasaran tempatan.

“Dasar perlindungan tidak baik untuk pengguna Malaysia kerana ia mengurangkan pilihan dan pilihan kos rendah,” katanya.

Namun, Samirul menegaskan penyetempatan dan pembangunan pembekal tetap penting bagi memastikan Malaysia memperoleh nilai jangka panjang daripada peralihan kepada EV.

“Dasar EV tidak sepatutnya menjadi perlumbaan untuk meletakkan lebih banyak kereta import di jalan raya Malaysia,” katanya.

“Ia sepatutnya menjadi strategi untuk membina ekosistem perindustrian yang mampu menyokong, menyelenggara dan akhirnya menghasilkan teknologi masa depan,” tambahnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.