
Pengarah KPDN Selangor, Muhamad Hanif Asa’ari, berkata lelaki tempatan dalam lingkungan 30-an itu didakwa di bawah Seksyen 100 Akta Cap Dagangan 2019, yang memperuntukkan denda tidak lebih RM10,000 bagi setiap barangan atau penjara sehingga tiga tahun bagi individu yang melakukan kesalahan kali pertama.
“Tertuduh mengaku bersalah bahawa pada 21 April 2022, di sebuah premis di Telok Panglima Garang, Kuala Langat, didapati mempunyai kawalan terhadap barangan seperti selipar, pakaian, topi, tali pinggang dan aksesori pakaian lain menggunakan cap dagangan jenama terkenal secara tidak sah.
“Ini kes pertama tahun ini yang membawa kepada nilai denda tertinggi di bawah kesalahan Akta Cap Dagangan 2019,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, prosiding itu berlangsung di depan Hakim Ahmad Fuad Othman, manakala pendakwaan dikendalikan Norhashimah Hasim bersama Khairul Affandi Md Jani yang mewakili KPDN Selangor.
Hanif berkata, pihaknya komited di bawah ‘Kempen Kita Gempur’ untuk mempergiat penguatkuasaan bagi memastikan pematuhan perundangan, termasuk kepentingan awam dan ekosistem ekonomi negara sentiasa diselia rapi.
“Kami memberikan amaran keras kepada peniaga agar tidak memanipulasi hak harta intelek kerana tindakan tidak bertanggungjawab ini, iaitu mencuri hak pemilik cap dagangan sah yang berdaftar dengan Perbadanan Harta Intelek Malaysia.”
Orang ramai mempunyai sebarang maklumat berhubung salah etika dalam urus niaga, diminta menyalurkan aduan lengkap menerusi saluran rasmi, termasuk aplikasi WhatsApp di talian 019-848 8000, aplikasi Ez Adu KPDN, portal e-aduan.kpdn dan talian 1-800-886-800.