Isu teknikal jejas kuota subsidi pemegang kad fleet SKDS, SKPS

Isu teknikal jejas kuota subsidi pemegang kad fleet SKDS, SKPS

KPDN berkata isu berpunca masalah integrasi sistem MySikap JPJ dan sistem MySubsidi kementerian itu.

KPDN menjangkakan kuota bagi pemegang fleet card SKDS dan SKPS terkesan dapat dijana semula dalam tempoh 9 hingga 11 Mei.
PUTRAJAYA:
Isu teknikal menyebabkan sebahagian pemegang fleet card Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) dan Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS) tidak menerima kuota subsidi bahan api bermula 1 Mei lepas.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dalam kenyataan memaklumkan, ia berpunca daripada masalah integrasi antara sistem MySikap Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan sistem MySubsidi KPDN.

Menurut KPDN, isu itu melibatkan sesetengah pemilik kenderaan yang memperbaharui Lesen Kenderaan Motor (LKM), mendaftar kenderaan baharu dan tukar milik kenderaan dalam tempoh 1 hingga 28 April lepas.

“Sehubungan dengan itu, KPDN sedang melaksanakan tindakan pembetulan dan semakan bersama pihak berkaitan bagi memastikan pengemaskinian data serta penjanaan semula kuota dapat dilaksanakan dengan segera,” menurut kenyataan itu.

KPDN memaklumkan pemegang fleet card SKDS dan SKPS yang terkesan boleh mengemukakan pemohonan untuk semakan dan pengemaskinian melalui pautan https://forms.gle/hQy1ZQZ2NZoBFJgeA selewat-lewatnya 5 petang, esok.

Maklumat yang perlu disertakan termasuk nama syarikat; nombor pendaftaran Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM); nombor pendaftaran kenderaan; dan tarikh memperbaharui cukai jalan, pendaftaran kenderaan baharu atau tukar milik.

KPDN menjangkakan kuota bagi pemegang fleet card SKDS dan SKPS terkesan dapat dijana semula dalam tempoh 9 hingga 11 Mei.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.