
Bercakap kepada Bernama, banjir ‘luar biasa’ yang melanda beberapa kawasan di Sepang pada hujung minggu lepas turut menjejaskan kandang kudanya berkeluasan 0.4ha.
Khairudin, 60, bekas juruteknik pertanian yang mengusahakan kandang kuda di Kampung Sri Tanjung, Dengkil dekat sini sejak 2007 berkata sebelum ini, kawasan itu pernah dilanda banjir tetapi tidak seteruk kali ini sehingga mengakibatkan beliau kerugian hampir RM50,000.
“Air naik sedikit demi sedikit hingga tiga meter pada Ahad dan 12 ekor kuda yang kami bela sempat ditempatkan di dalam lori treler yang dapat memuatkan sembilan ekor manakala lima lagi termasuk seekor anak kuda betina berusia seminggu dalam ‘horsefloat’ sebagai perlindungan sementara,” katanya di sini hari ini.
Tidak ketinggalan, Unit Berkuda Polis Diraja Malaysia dan Briged Ekuin Angkatan Pertahanan Awam turut menghulurkan bantuan pada Ahad bagi memindahkan kuda ke daratan menggunakan bot berenjin dan sebagainya, katanya.
Menurut Khairudin ketika ini, tujuh kuda telah dibawa ke kandang kuda rakannya di Bandar Si Sendayan, Negeri Sembilan manakala lima lagi ‘ditumpangkan’ sementara di sebuah kandang kambing di Dengkil.
Beliau berkata dua kuda juga telah mengalami kecederaan serius pada bahagian kaki dan kini menerima rawatan veterinar.
Selain itu, Khairudin berkata banjir turut memusnahkan makanan kudanya iaitu jerami kering dan ‘horse pellet’ yang baru dibeli iaitu seberat satu tan.
“Saya reda dan perlu menerima hakikat bahawa kandang kuda saya telah musnah. Saya rasa enam bulan diperlukan untuk pulih,” katanya.
Bentuk perniagaan yang dijalankan De Dengkil Stable & Arabian Stud Farm menjurus kepada sektor komersial iaitu kudanya digunakan bagi rakaman iklan dan sewaan kereta kuda bagi majlis.
Katanya, antara baka yang dibela ialah kuda padi dan jenis Appaloosa serta terdapat kuda berwarna kelabu.
“Anak perempuan saya kini membuat terapi menggunakan kuda bagi kanak-kanak autisme secara kecil-kecilan,” katanya.