Banjir: Masa untuk tambah kuasa PBT, tutup JPS dan NADMA?

Banjir: Masa untuk tambah kuasa PBT, tutup JPS dan NADMA?

Punca kepada masalah sekarang ialah rantaian kuasa yang tidak jelas dan mengelirukan.

Saya melihat video Menteri Besar Selangor bertungkus lumus membantu mangsa banjir, dengan menarik bot bersama mangsa di dalamnya.

Ada satu lagi video menunjukkan dia menyelamatkan satu keluarga bersama anak kecil untuk merentas air di dalam rumah untuk masuk ke bot yang disediakan.

Walaupun ini sesuatu coretan yang murni dilakukan oleh beliau sebagai wakil rakyat, tetapi ini sebenarnya bukanlah tugas utama sebagai Menteri Besar.

Ini tidak harus terjadi di setiap negeri, apa lagi bagi negeri yang maju seperti Selangor. Fungsinya sebagai Menteri Besar jauh lebih penting terutamanya dalam masa kecemasan atau darurat.

Beliau sepatutnya berada di pusat kawalan banjir dan memberi arahan-arahan tertentu yang lebih berfaedah untuk kakitangan awam bertindak, mengikut garis panduan yang telah ditetapkan serta keperluan-keperluan asas di lapangan.

Ini akan lebih efektif, bergerak dengan pantas, tapi cuma sekiranya Selangor sebenarnya mempunyai pusat kawalan banjir dengan komunikasi yang terancang. Tapi ternyata tidak ada.

Kenapa tidak ada? Ke mana hilangnya belanjawan khas yang telah diluluskan untuk pusat kawalan dan informasi banjir di bawah Kementerian Alam Sekitar itu?

Kenapa Kementerian berkenaan diam dan membisu?

Di mana tanggungjawab mereka terhadap alam sekitar dan bencana alam?

Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS)

Seorang lagi wakil rakyat yang bekerja keras untuk mangsa banjir ialah ADUN Kota Kemuning, V Ganabatirau. Kudos untuk beliau yang bersama pasukan bomba turun membantu.

Kebetulan beliau masih muda dan berbadan tegap, berjaya dengan kerja-kerja fizikal untuk menyelamatkan mangsa.

Pertolongan sebegitu adalah sesuatu yang sepatutnya dijalankan oleh pihak atau badan kerajaan khas yang menerima arahan dari pusat kawalan tadi.

Persoalannya, dimana mereka – yang lebih perkasa, yang telah dilatih dan dibayar gaji oleh pihak kerajaan – yang sepatutnya menjalankan tugas-tugas demikian?

Kita mempunyai banyak jabatan kerajaan yang bertanggungjawab untuk merancang dan menjalankan tugas utama untuk mencegah dan melawan bencana alam seperti banjir ini. Kenapa mereka tidak terlibat?

Umpamanya, tugas Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) amat jelas. Kenapa mereka tidak turun padang?

Mereka diberi belanjawan yang besar setiap tahun untuk merangka dan membelanjakan wang kerajaan yang terkumpul untuk tujuan ini.

Jabatan ini bersama dengan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bertanggung-jawab dalam hal-hal yang berkaitan dengan perparitan dan saliran. Kita difahamkan bahawa segala perancangan dan pembangunan tidak akan terjadi tanpa kelulusan dari pihak-pihak yang berkuasa tersebut.

Apa kata kalau JPS ini dihapuskan saja dan tugas mereka diserapkan ke dalam PBT?

Tentunya kuasa dan tugas ini akan menjadi lebih efektif kerana tiada lagi pertindihan kuasa antara mereka. Pada masa sekarang, kuasa mereka bertindih dan tidak jelas.

Kalau PBT berkuasa penuh ke atas kelulusan setiap projek, ini bererti mereka juga bertanggungjawab terhadap sebarang masalah yang timbul dan terjadi serta yang akan terjadi.

PBT harus diberikan tanggungjawab total atau ‘ownership’ kuasa ini.

Kerana apa? Kerana PBT mengutip pelbagai cukai daripada pihak pemilik tanah dan harta-benda. Justeru, PBT harus bertanggungjawab sepenuhnya atas masalah berbangkit.

Masalah banjir ini bukan perkara baru. Tetapi PBT dan badan kerajaan yang bertanggungjawab tidak melihatnya sebagai masalah mereka. Mereka kutip wang untuk lesen, permit dan cukai, tetapi tidak mahu bertanggungjawab?

Harus disedari, kakitangan PBT juga dibayar gaji dan diberi berbagai kemudahan. Saban tahun, PBT mendapat belanjawan yang tinggi sebagai upah mengurus.

Sekiranya ketidakcekapan menguruskan saliran, perparitan, dan pengurusan harta benda berterusan, dan dibelit dengan tuduhan korupsi, pihak kerajaan negeri dan persekutuan mesti menilai semula fungsi PBT dan agensi berkaitan.

Mungkin kerajaan itu sendiri perlu dirombak. Menteri-menteri yang tidak menjalankan tugas juga perlu diganti.

PBT bertanggungjawab terus kepada Menteri Besar, dan bukannya mempunyai sebelah kaki dalam kerajaan negeri dan satu lagi kepada pak menteri-menteri di Putrajaya.

Inilah punca kepada masalah sekarang; iaitu rantaian kuasa (atau ‘chain of command’) yang tidak jelas dan mengelirukan.

NADMA & PBT

Kecelaruan turut berlaku susulan tindakan kerajaan persekutuan membentuk satu badan khas untuk melawan bencana alam, yang dipanggil NADMA (National Disaster Management Authority).

Tetapi agak malang apabila badan induk ini yang dikawal oleh penjawat awam, tidak berfungsi seperti yang diharapkan. Yang hebat cuma nama, tidak fungsinya.

Sekiranya bencana setahun sekali juga tidak dapat dijaga dengan baik, apa gunanya badan tersebut? Lebih baik tutup saja.

Cuba renung sekejap tentang NADMA. Apa fungsinya dalam menangani banjir?

Sebenarnya PBT badan yang paling sesuai untuk bergerak cergas dan mengatasi masalah banjir ini.

Mereka mempunyai maklumat yang cukup dan lengkap tentang segala data-data seperti alamat perumahan, pusat-pusat komersial, kilang-kilang, rangkaian jalan, tempat letak kereta bawah tanah dan berbagai maklumat seperti dewan orang ramai, sekolah, rumah ibadat dan lain-lain lagi.

Agak malang data yang mereka ada tidak digunapakai, bersesuaian dengan tujuan untuk menyelamat mangsa-mangsa yang terlibat.

PBT juga tahu tentang lokasi yang paling sesuai untuk dijadikan pusat pemindahan dari segi ketinggian tanah, lokasi, dan kesesuaian akses dan faktor-faktor lain yang boleh membantu masalah.

Perlu diingatkan juga majlis tempatan yang mengutip berbagai cukai dari penduduk dan pengguna di kawasan mereka. Mungkin selepas ini PBT boleh memberi pelepasan cukai juga kepada mereka yang terlibat dengan musibah banjir tersebut.

‘Chain of Command’

PBT mempunyai ramai pegawai dan kakitangan teknikal yang paling sesuai untuk membantu dan menyelesaikan masalah yang timbul seperti pembersihan dan menanggung kos-kos yang terlibat.

Mereka harus diperkasakan dan diberi peruntukan daripada Tabung Bencana Negara.

PBT mempunyai segala peralatan, kenderaan dan alat jentera yang sesuai serta kakitangan teknikal yang ramai untuk membantu dan menolong.

Jabatan-jabatan lain seperti bomba, tentera, polis, dan JPM boleh membantu dan menerima arahan daripada PBT berserta dengan badan-badan kerajaan dan bukan kerajaan yang lain.

Yang Dipertua PBT boleh lapor terus kepada Menteri Besar. Inilah ‘chain of command’ atau rantaian kuasa paling sesuai. PBT tidak harus di bawah telunjuk Menteri Persekutuan.

Sekiranya tugas menangani banjir diberi kepada PBT, rantaian kuasa bantuan banjir (atau ‘chain of command for flood relief’) tidak akan putus dan bertindih seperti yang berlaku sekarang.

Perdana Menteri hanya perlu berurusan dengan Menteri Besar atau Ketua Menteri dan tidak lagi dengan berbagai ketua-ketua jabatan pusat di persekutuan yang tidak tahu menahu apa yang sebenarnya terjadi di peringkat negeri.

Menteri Besar atau Ketua Menteri menerima maklum balas langsung dari Yang Dipertua PBT.

Penyusunan semula talian kuasa ini penting sekiranya Perdana Menteri mahu selesaikan masalah yang berlaku sekarang. Beliau harus segera membuat rombakan ini, tanpa gimik, atau mainan politik.

 

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.