Beberapa menteri pulang selepas diarah balik dari luar negara

Beberapa menteri pulang selepas diarah balik dari luar negara

Perdana Menteri berkata menteri yang sudah pulang dari luar negara itu sedang menjalani kuarantin dan akan 'turun padang' membantu mangsa banjir dalam masa terdekat.

Ismail Sabri Yaakob berkata beberapa menteri sudah pulang dari bercuti di luar negara selepas diarah berbuat demikian dan sedang menjalani kuarantin terlebih dahulu sebelum membantu mangsa banjir.
HULU LANGAT:
Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan beberapa menteri sudah pulang dari bercuti di luar negara selepas diarah berbuat demikian Jumaat lalu.

Beliau berkata, menteri terbabit sedang menjalani kuarantin Covid-19 dan akan “turun padang” membantu mangsa banjir dalam masa terdekat.

“Ramai menteri balik dan mereka ke luar negara awal sebelum banjir.

“Bila suruh balik, ada dua tiga dah balik tetapi mereka kena kuarantin dulu. Kita tak benar keluar lagi sebab bimbang sebar penyakit dan kena patuh SOP.

“Isnin atau Selasa akan bersama dengan khalayak,” katanya.

Jumaat lalu, Ismail mengarahkan semua menteri membatalkan rancangan bercuti di luar negara bagi membantu mangsa banjir di beberapa negeri.

Bagi menteri yang sedang berada di luar negara pula, beliau meminta mereka pulang segera ke tanah air untuk bersama membantu Keluarga Malaysia yang dalam kesusahan.

Dalam pada itu, Ismail berkata menteri yang mahu bercuti juga telah membatalkan cuti mereka.

Beliau turut menjelaskan, menteri yang sudah berada di luar negara pergi sebelum banjir melanda negara minggu lalu.

“Saya pun sudah ada rancangan nak ke luar negara pada 1 Jan tetapi saya batalkan dan tak jadi pergi umrah,” katanya pada sidang media selepas menghadiri program gotong-royong pembersihan kawasan terjejas banjir di Taman Sri Nanding dan Kampung Dusun Tua.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.