Kerajaan tak ikut garis masa MPN buka sempadan, kata Muhyiddin

Kerajaan tak ikut garis masa MPN buka sempadan, kata Muhyiddin

Muhyiddin Yassin berkata MPN telah usulkan supaya sempadan negara dibuka secara berperingkat secepat mungkin selewat-lewatnya Jan tahun ini.

Pembukaan sempadan boleh dibuat dengan mengambil kira prosedur operasi standard (SOP) tertentu termasuk kuarantin dan ujian calitan, menurut Muhyiddin Yassin.
KUALA LUMPUR:
Kerajaan perlu menetapkan garis masa yang jelas bagi pembukaan semula sempadan negara, kata Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), Muhyiddin Yassin.

Bekas Perdana Menteri itu membuat gesaan berkenaan sambil memaklumkan pembukaan semula sempadan secara berperingkat itu perlu bagi memulihkan pelbagai kegiatan ekonomi negara termasuk perdagangan, perindustrian, pelaburan dan pelancongan.

“MPN telah usulkan supaya sempadan negara telah dibuka secara berperingkat secepat mungkin, kita cadang Jan 2022 tapi tak buka juga. Kerajaan kena ada ‘definite timeline’ (garis masa yang jelas), sebulan ke, dua bulan ke (buka sempadan).

“Kita tutup sepanjang masa pun tak boleh, proses pemulihan ekonomi takkan berlaku, sekarang memang ada (proses pemulihan ekonomi) tapi terbatas dan kita takkan berjaya,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis Resepsi Tahun Baharu Cina anjuran Gerakan di sini hari ini.

Terdahulu, MPN sebelum ini mencadangkan sempadan negara dibuka kepada pelawat antarabangsa selewat-lewatnya pada 1 Jan tahun ini.

Muhyiddin berkata, pembukaan sempadan boleh dibuat dengan mengambil kira prosedur operasi standard (SOP) tertentu termasuk kuarantin dan ujian calitan.

“Kita tahu Omicron dan Covid masih ada, kalau pintu negara tutup proses ekonomi negara tak akan berlaku, sekarang terhad terbatas, jadi saya rasa bertanggungjawab supaya perhatian diberi Perdana Menteri khususnya Jemaah Menteri tentang cadangan yang telah kita kemukakan ke tahap lebih baik,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.