Majoriti sokong Hamzah kekal ketua pembangkang, kata Ahli Parlimen Bersatu

Majoriti sokong Hamzah kekal ketua pembangkang, kata Ahli Parlimen Bersatu

Ikmal Hisham Abdul Aziz berkata, majoriti Ahli Parlimen pembangkang mahu Hamzah Zainudin kekal jawatan itu berikutan prestasinya yang cemerlang.

Hamzah Zainudin Dewan rakyat
Hamzah Zainudin, yang dipecat oleh Bersatu sebelum ini berkata, beliau sedia lepas jawatan ketua pembangkang jika majoriti Ahli Parlimen PN mahu beliau berbuat demikian. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Majoriti daripada 69 Ahli Parlimen pembangkang mahu Hamzah Zainudin terus menerajui blok itu di Dewan Rakyat, kata seorang Ahli Parlimen Bersatu.

Ahli Parlimen Tanah Merah Ikmal Hisham Abdul Aziz berkata, sokongan ini disuarakan khususnya oleh Ahli Parlimen PAS yang membentuk majoriti anggota pembangkang dengan 43 kerusi, walaupun parti itu telah mengambil alih jawatan pengerusi Perikatan Nasional (PN) bulan lepas.

“Setakat ini difahamkan Hamzah akan kekal ketua pembangkang kerana majoriti Ahli Parlimen pembangkang mahu beliau dikekalkan.

“Terutamanya dalam kalangan Ahli Parlimen PAS juga sokong dan setuju Hamzah dikekalkan (sebagai ketua pembangkang),” kata bekas timbalan menteri itu kepada FMT.

Ikmal berkata, sebahagian besar daripada 19 Ahli Parlimen Bersatu juga menyokong Hamzah untuk terus menyandang jawatan ketua pembangkang, walaupun bekas timbalan presiden itu dipecat daripada parti berkenaan bulan lepas.

“Sekiranya diambil pungutan suara dalam kalangan Ahli-ahli Parlimen pembangkang, pasti majoriti mahu Hamzah dikekalkan kerana beliau telah tunjuk prestasi cemerlang selaku ketua pembangkang,” katanya.

FMT telah menghubungi Pengerusi PN Ahmad Samsuri Mokhtar untuk mendapatkan komen.

PN dijangka menamakan ketua pembangkang baharu menjelang akhir bulan ini bagi menggantikan Hamzah susulan pemecatannya ketika kemuncak kemelut kepimpinan dengan Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin.

Sidang Dewan Rakyat seterusnya akan diadakan pada Jun, memberikan gabungan itu masa yang mencukupi untuk menamakan pengganti, walaupun beberapa pemimpin Bersatu telah menggesa PAS agar menggantikan Hamzah secepat mungkin.

Mereka turut mengkritik Hamzah kerana terus mengeluarkan kenyataan atas kapasitinya sebagai ketua pembangkang.

Satu sumber dalam kepimpinan PN yang dihubungi FMT berkata, tiada keputusan dibuat setakat ini, dan tiada mesyuarat Majlis Tertinggi dijadualkan.

Bagaimanapun, sumber itu berkata, terdapat kemungkinan Ahli Parlimen Kota Bharu Takiyuddin Hassan, yang juga setiausaha agung PAS dan PN, akan mengambil alih peranan tersebut.

Hamzah sebelum ini berkata, beliau bersedia melepaskan jawatan itu jika majoriti Ahli Parlimen PN mahu beliau berbuat demikian.

Ahli Parlimen Larut itu mendapat sokongan terbuka 13 daripada 19 Ahli Parlimen Bersatu, termasuk Ikmal, naib presiden parti Ronald Kiandee, dan ketua Wanita Mas Ermieyati Samsudin. Kiandee dan Mas Ermieyati turut digantung oleh Bersatu.

Sebelas Ahli Parlimen lain yang menyokong Hamzah termasuk Rosol Wahid (Hulu Terengganu); Ku Abd Rahman Ku Ismail (Kubang Pasu); Muslimin Yahaya (Sungai Besar); dan Abdul Khalib Abdullah (Rompin).

Turut menyatakan sokongan, Khlir Nor (Ketereh); Zakri Hassan (Kangar); Roslan Hashim (Kulim Bandar Baharu); Nordin Ahmad Ismail (Lumut); Kalam Salan (Sabak Bernam); dan Islahuddin Abas (Mersing).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.