
Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin berkata keputusan itu tepat kerana parti itu tidak akan terkesan daripada imej buruk sesetengah pemimpin Umno.
“Ada hikmah Bersatu tidak bekerjasama dengan Umno. Jadi Bersatu tidak terpalit dengan masalah moral yang membelenggu pemimpin Umno.
“Secara peribadi saya malu untuk dikaitkan dengan parti yang masih mengangkat seorang yang telah didapati bersalah oleh mahkamah atas satu kesalahan jenayah berat sebagai boss!,” kata Muhyiddin yang juga pengerusi Perikatan Nasional.
Bekas perdana menteri Najib Razak disabitkan dengan tujuh pertuduhan rasuah pada Julai 2020 dengan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta. Beliau sedang merayu kes itu.
Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi, baru-baru ini, diarahkan membela diri terhadap 47 pertuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram.
Dalam kenyataannya, Muhyiddin membidas Najib kerana mendakwa Bersatu mengkhianati Umno di pilihan raya negeri (PRN) Sabah, tahun lalu.
Perbuatan Bersatu itu, menurut Najib, menjadi punca Umno menolak hasrat PAS mengundang Bersatu menyertai MN, walaupun bersetuju pada awalnya.
“Saya fikir Najib elok ambil masa muhasabah diri. Tak usahlah bermain politik jelik. Anda telah didapati bersalah oleh mahkamah atas satu kesalahan jenayah yang berat. Sepatutnya ada sedikit rasa malu,” kata Muhyiddin.
“Dalam Islam, malu itu adalah sebahagian daripada iman. Tetapi, malangnya dalam Umno, seorang yang telah disabitkan dengan kesalahan jenayah yang disifatkan sebagai ‘national embarrassment’ oleh mahkamah diangkat sebagai boss dan dilaungkan slogan malu apa bossku,” kata Muhyiddin.
Keputusan Bersatu menolak penyertaan dalam MN membayangkan gagasan itu yang ditubuhkan 2019 berkemungkinan ‘gulung tikar’.
Ini kerana PAS sebelum ini menegaskan ia menolak MN, jika Umno tidak menerima Bersatu menyertai gagasan itu demi penyatuan ummah.
Hubungan PAS dan Umno juga dilihat semakin renggang susulan pendirian rasmi parti itu bersabit MN.
PAS dan Bersatu adalah sekutu dalam Perikatan Nasional dan akan menentang Umno-Barisan Nasional pada PRN Johor tidak lama lagi.