Adakah Zahid ahli sihir sekejap uzur, sekejap sihat? soal Pemuda PAS

Adakah Zahid ahli sihir sekejap uzur, sekejap sihat? soal Pemuda PAS

Ahmad Fadhli Shaari turut mempersoalkan mengapa ada lagi yang mempercayai ucapan Presiden Umno itu walaupun secara terang-terangan 'memperbudakkan' pendengar.

Ahmad Fadhli Shaari turut mempersoalkan mengapa ada lagi yang mempercayai ucapan Ahmad Zahid Hamidi.
PETALING JAYA:
Pemuda PAS menyelar sindiran Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi ke atas Abdul Hadi Awang yang mencadangkan supaya presidennya menukar kerjaya daripada ahli politik kepada ahli zoologi.

Ketuanya Ahmad Fadhli Shaari turut mempersoalkan mengapa ada lagi yang mempercayai ucapan Zahid, walaupun secara terang-terangan beliau “memperbudakkan” pendengar.

“Jika membalas begitu pun sudah dilabel ahli zoologi, Datuk Seri (Zahid) ahli apa? Ahli sihir yang sekejap uzur ke mahkamah kemudiannya sihat sejahtera memikul beras?

“Atau Datuk Seri lah sebenarnya ahli zoologi yang pengkhususannya ialah sesumpah, bertukar warna sepantas kilat sewaktu menjadi murid setia kepada ‘cikgu’ yang baru sahaja diseranah di atas pentas?,” katanya di Facebook.

Fadhli berkata sewaktu Zahid menulis awal Dis lepas yang menyatakan “seseorang yang bergelar ulama harus mengikut ‘nas’ yang sahih bukan memanipulasi hukum mengikut selera politik untuk memperdagangkan agama demi mencapai objektif siasah…”, Pemuda PAS mengetahui kepada siapa ia ditujukan.

“Kami tahu ia ditujukan kepada siapa. Namun kami tidak bingkas membalas kerana kami tahu di dalam Umno masih terlalu ramai yang sayangkan perpaduan ummah.

“Bahkan kenyataan-kenyataan Umno Terengganu dan Umno Kelantan sepanjang tahun lepas dan sebelumnya, tidak adapun Pemuda PAS di kedua-dua negeri itu bingkas membalas menyahut dan mencabar, kerana ia hanya akan memanaskan keadaan,” tambah beliau.

Jelas beliau, apa yang sangat dikehendaki Presiden Umno itu adalah tandatangan di atas sekeping watikah.

“Sebenarnya, yang dikehendaki sangat ialah tandatangan di atas sekeping watikah sahaja. Itupun tiada harga jika Datuk Seri berpindah mukim ‘ke dalam’ (dijatuhkan hukuman penjara),” katanya.

Kenyataan Pemuda PAS itu dilihat agak keras berbanding ulasan diberikan pemimpin parti itu, Awang Hashim yang menyifatkan sindiran balas Zahid ke atas Hadi tidak akan menjejaskan usaha parti itu dalam menyatukan ummah.

Terdahulu FMT melaporkan Awang berkata beliau tidak menganggap kenyataan Zahid kepada Hadi itu sebagai mengguris hati mereka sambil menyifatkan sikap sindir menyindir sudah menjadi mainan politik Umno.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.