PRN Johor: PKR perlu guna saluran baik runding dengan Umno, kata Anwar

PRN Johor: PKR perlu guna saluran baik runding dengan Umno, kata Anwar

Presiden PKR itu berkata setiap rundingan juga perlu ambil kira kekuatan sokongan yang dimiliki parti di peringkat Parlimen.

Presiden PKR Anwar Ibrahim ketika berucap di Konvensyen PKR Johor di Johor Bahru hari ini. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
PKR Johor diminta menggunakan saluran yang baik untuk berunding dengan parti lain dalam kerajaan perpaduan termasuk Umno bagi menghadapi pilihan raya negeri itu yang perlu diadakan selewat-lewatnya April tahun depan.

Presidennya Anwar Ibrahim berkata setiap rundingan juga perlu mengambil kira kekuatan sokongan yang dimiliki parti itu di peringkat Parlimen.

“Saya minta pimpinan negeri berunding dengan kawan-kawan kita dengan parti lain. Pakatan Harapan (PH) tentunya kita bersama, dengan Umno kita akan bincang ikut saluran yang baik, tapi tidak boleh mematahkan semangat dan pendirian kita.

“Walaupun prestasi (PKR) di negeri ini lemah tapi tak siapa boleh pertikai bahawa dalam tradisi kita, Johor ini melahirkan kekuatan sehingga memenangkan ramai Ahli Parlimen,” katanya ketika berucap di Konvensyen PKR Johor.

Anwar turut mengingatkan bahawa pemimpin seperti ketua cabang, Wanita dan Pemuda tidak automatik menjadi calon parti itu dalam pilihan raya tersebut.

Katanya, ahli PKR juga diingatkan supaya memperkuatkan sokongan di peringkat akar umbi selain memantapkan jentera pilihan raya sebelum bercita-cita mahu bertanding banyak kerusi.

“Saya tidak tandatangan watikah (calon) kalau saya tidak yakin cabang itu kemas dan mantap. Kalau tidak ‘perform’ di cabang jangan buat tuntutan (kerusi).

“…jangan ingat ketua cabang automatik jadi calon, ketua wanita, ketua pemuda tidak, yang automatik calon itu orang yang berdedikasi bekerja dan mampu memenangkan (parti),” katanya.

Anwar juga berkata beliau juga mengambil positif teguran dibuat segelintir pemimpin jika ia dibuat secara baik dan bekerja tanpa mengharapkan habuan.

“Saya nak beri contoh Pak Hassan dia pemimpin tegas, kadang-kadang degil nak mampus tapi (tegur) dengan cara baik. Dia tak pernah minta duit dengan saya, dia tak pernah lobi jawatan.

“Kita nak ramai macam itu, cuma jangan bising macam itu, pening ada 10 Pak Hassan di Johor. Letih, nasib ada satu,” katanya dalam nada berseloroh merujuk Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim.

Pada PRN Johor ke-15, PH menang 12 kerusi DUN, iaitu DAP 10 kerusi, manakala PKR dan Amanah masing-masing satu kerusi.

Barisan Nasional pula berjaya bentuk kerajaan negeri apabila menang 40 daripada 56 kerusi, diikuti Perikatan Nasional (3) dan Muda (1).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.