
Pengumuman calon di kerusi yang mencetuskan “kontroversi” antara pembangkang itu dibuat Presiden MUDA Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
“Beliau tulang belakang MUDA bukannya Syed Saddiq, tulang belakang MUDA ialah (Amira) calon yang dinamakan untuk bertanding di Puteri Wangsa, beliau mempunyai semangat perjuangan luar biasa,” kata Syed Saddiq.
Sementara itu, Amira berkata, beliau mahu memperjuangkan isu ekonomi, pendidikan dan keselamatan, jika diberi mandat sebagai wakil rakyat di DUN Puteri Wangsa.
“Kalau saya menang, saya berjanji menunaikan janji saya. Sekiranya kemenangan bukan milik saya, saya berjanji untuk terus berkhidmat sebaiknya di sini.
“Apa yang saya nak bawa di DUN Puteri Wangsa ialah politik khidmat, politik dasar dan politik nilai. Ini janji saya untuk Puteri Wangsa,” katanya dalam ucapan selepas diumumkan sebagai calon.
Sebelum ini, Amanah dan DAP memberi laluan kepada MUDA untuk bertanding di enam kerusi pada PRN Johor, iaitu Tenang, Bukit Kepong, Parit Raja, Machap, Puteri Wangsa dan Bukit Permai.
Sementara PKR menawarkan tiga kerusi, namun tidak menyatakan kawasan mana.
Keputusan Amanah menyerahkan kerusi Puteri Wangsa kepada MUDA menimbulkan rasa tidak puas hati beberapa ahli dan pemimpin PKR peringkat akar umbi.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 26 Feb sebagai tarikh penamaan calon bagi PRN Johor, manakala hari pengundian pada 12 Mac depan.