
Elise Arya Chen berkata jika dasar dan undang-undang yang lebih baik dilaksanakan, Malaysia boleh menawarkan jalan kepada pelarian untuk menuntut suaka secara sah.
Katanya, dengan berbuat demikian, ia dapat membantu untuk membezakan antara pelarian dan pendatang tanpa dokumen yang datang ke sini untuk bekerja.
Tonton video di sini.
“Kad pengenalan baharu yang dicadangkan itu hanya munasabah jika ia mengambil kira hak asasi manusia mereka yang mencari perlindungan selamat daripada peperangan, konflik dan bencana,” kata Chen kepada FMT.
Minggu lalu, Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin berkata, kad pelarian khas akan dikeluarkan untuk memastikan sama ada pelarian boleh kekal di negara ini atau tidak.
Menurut Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR), seramai 181,800 pelarian dan pencari suaka didaftarkan di negara ini setakat Februari.
Chen berkata, ia juga bergantung kepada tujuan dan prinsipnya sama ada kerajaan perlu mengeluarkan kad pengenalan pelarian terbabit.
Menurutnya, MyRC yang ada sebelum ini atau sistem kad pelarian Malaysia, disediakan kepada pelarian dengan kos RM500 setahun tetapi tidak menawarkan perlindungan undang-undang kepada mereka.
Katanya, sekiranya kad baharu itu mengiktiraf status pelarian dan disokong oleh undang-undang, ia mungkin lebih baik berbanding MyRC.
Kad MyRC wajib bagi semua pelarian dan pencari suaka di negara ini dan maklumat peribadi serta data biometrik disalurkan kepada polis, Jabatan Imigresen dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Manakala Pengarah Inisiatif Utara-Selatan Adrian Pereira berkata UNHCR kekal yang terbaik untuk mengendalikan pendaftaran pelarian dan penempatan semula.
Katanya, usaha memperkenalkan kad pengenalan baharu adalah sia-sia kerana ia akan menyebabkan berlaku pertindihan dari segi peranan dengan agensi PBB yang telah pun berperanan sebagai pendaftar.