Banjir Felda Trolak: Warga emas berdepan detik cemas air naik cepat hingga paras dada

Banjir Felda Trolak: Warga emas berdepan detik cemas air naik cepat hingga paras dada

Seorang penduduk di Felda Trolak Selatan itu menyifatkan musibah kali ini sebagai paling teruk pernah dialaminya sejak hampir 50 tahun.

Menurut mangsa banjir di Felda Trolak Selatan, mereka mengalami kerugian besar selepas semua barangan kelengkapan rumah musnah ditenggelami air. (Gambar Bernama)
TANJUNG MALIM:
Sebuah keluarga di Felda Trolak Selatan di sini mengalami situasi cemas apabila tidak menyangka air naik dengan cepat hingga paras dada pada 2.30 petang kelmarin dan lebih malang bencana itu telah beberapa kali berulang.

Arbainah Achel, 70, berkata, musibah kali ini merupakan banjir paling teruk pernah dialaminya sejak hampir 50 tahun tinggal di kawasan berkenaan.

“Dalam pukul 2.30 petang air dah naik hingga paras dada semasa hujan lebat, tidak seperti sebelum ini air hanya paras pinggang.

“Bimbang akan keadaan itu, kami terpaksa melompat-lompat mencari bahagian yang lebih tinggi kerana bimbang dihanyutkan air yang agak deras namun syukur kerana kami selamat,” luah wanita warga emas itu ketika ditemui pemberita, semalam.

Katanya ketika kejadian, dia baru sahaja selesai solat Zuhur dan kejadian itu amat menyedihkan apatah lagi mereka mengalami kerugian besar selepas semua barangan kelengkapan rumah musnah ditenggelami air.

“Banjir yang melanda sebelum Hari Raya baru-baru ini pun belum siap dikemas, tiba-tiba bencana sama melanda lebih teruk dengan lumpur yang tebal dan sukar dibersihkan,” katanya.

Arbainah menggesa pihak berkuasa negeri segera menyelesaikan masalah itu kerana kejadian banjir di kawasan itu sering berulang.

Sementara itu, seorang lagi penduduk Che Roha Baharuddin, 53, berkata, dia terpaksa tidur dalam keadaan bergelumang dengan lumpur kerana kepenatan menghadapi banjir itu kelmarin.

Ibu kepada tiga anak itu berkata, dia hanya tinggal bersama bapanya yang berusia 78 tahun serta anak bongsunya yang sakit kanser menjadikan kerja membersihkan rumah yang luas amat sukar kerana lumpur yang tebal dan rumah yang terletak berhampiran sungai.

“Saya mengemas dengan bantuan anak perempuan saya ini walaupun dalam keadaan sakit dan saya pula mengalami demam hari ini namun kami tetap menggunakan kudrat yang ada.

“Bagaimanapun syukurlah kami dapat naik ke tingkat atas rumah dengan segera untuk menyelamatkan diri kerana air naik dengan cepat dan sangat deras semalam,” katanya.

Hujan lebat petang kelmarin menyebabkan beberapa kawasan di tiga daerah, iaitu Muallim, Batang Padang dan Hilir Perak dilanda banjir kilat hingga ratusan mangsa terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara. Bagaimanapun di kebanyakan kawasan air mula surut sejak pagi semalam.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.