
Fahmi menegaskan bahawa pindaan itu pernah dibangkitkan oleh bekas menteri komunikasi dan multimedia, Gobind Singh Deo pada 12 Feb 2020.
Bagaimanapun, beliau berkata selepas kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH), status kajian semula serta cadangan-cadangan pindaan terhadap Akta 709 masih belum diketahui umum.
Fahmi juga menggesa Menteri Komunikasi dan Multimedia, Annuar Musa dan Pesuruhjaya Perlindungan Data Peribadi supaya segera memberi penjelasan segera berhubung status kajian semula Akta 709 serta langkah-langkah yang telah diambil bagi menjamin keselamatan data peribadi rakyat Malaysia.
“Ini termasuk data peribadi yang disimpan atau dikendali agensi-agensi kerajaan,” katanya dalam kenyataan.
Fahmi juga menggesa agar Annuar menggunakan sidang Parlimen akan datang pada Julai nanti sebagai peluang untuk membentangkan pindaan kepada Akta 709.
Beliau mendakwa dalam tempoh 5 tahun lepas, dianggarkan lebih 100 juta set data peribadi seperti nama penuh, alamat, nombor telefon, nombor kad pengenalan dan maklumat peribadi lain telah dicuri.
“Ini amat membimbangkan rakyat dan ekonomi negara,” katanya.
Fahmi turut menyatakan bahawa hanya satu kes data peribadi berprofil tinggi telah dibawa ke mahkamah.
Malindo Air didakwa di bawah PDPA pada Februari 2020 atas pelanggaran data pada 2019 selepas butiran kira-kira 30 juta penumpang dari Malindo dan anak syarikat Lion Group yang lain, Thai Lion Air, disiarkan dalam forum dalam talian.
Minggu lalu, timbul laporan mengenai kebocoran data peribadi lebih sejuta rekod milik Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) melalui perkongsian awam-swasta Covid-19 Program Vaksinasi Industri (Pikas). Perkara itu dilaporkan kepada CyberSecurity Malaysia, yang mengatakan bahawa isu itu telah diselesaikan.
Sementara itu, terdapat dakwaan pada bulan lepas bahawa pangkalan data yang mengandungi maklumat peribadi milik 22.5 juta rakyat Malaysia ditawarkan untuk dijual melalui web gelap. Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (CCID) Bukit Aman bagaimanapun sedang menyiasat perkara itu.