Peguam dedah ada pihak cuba ‘pancing’ Sirul

Peguam dedah ada pihak cuba ‘pancing’ Sirul

Identiti kumpulan dan individu tersebut akan didedah pada masa yang sesuai

sirul

KUALA LUMPUR :
Beberapa kumpulan dan individu tertentu dari dalam dan luar negara telah berhubung dengan bekas anggota polis Unit Tindakan Khas (UTK) Bukit Aman, Sirul Azhar Umar bagi kepentingan masing-masing.

Peguam Sirul, Datuk Kamarul Hisham Kamaruddin mendedahkan, pihak terbabit juga turut menawarkan kepada Sirul untuk menyelesaikan kes perundangan di Australia di mana Sirul ketika ini sedang dalam proses mendapatkan visa perlindungan.

Tambahnya, pihak terbabit juga menasihatkan Sirul untuk memecat barisan peguam yang mewakilinya.

“Kita mendapat maklumat daripada Sirul bahawa terdapat individu cuba untuk menghubunginya dan mahu berjumpa tetapi telah ditolak untuk bertemu (dengan Sirul).

“Ada yang berjaya menghubunginya daripada luar negara dan menawarkan untuk menyelesaikan masalah, membantu dan menasihat untuk memecat barisan peguamnya kerana tidak melakukan tugas yang baik,” katanya pada sidang medianya di Plaza Damas di sini pada Khamis.

Menurut Kamarul, pihaknya mempunyai bukti dan mengetahui identiti individu dan kumpulan terbabit dan akan mendedahkan perkara itu pada masa yang sesuai.

Katanya, pas lawatan sosial Sirul juga telah tamat dan dan bekas anggota UTK itu juga kini sedang memohon visa perlindungan dari kerajaan Australia.

“Jangan salah sangka dengan perkataan visa perlindungan tersebut. Ia merupakan visa perlindungan kepada mereka yang telah lama menduduki (sesebuah negara),” katanya.

Beliau berkata, visa perlindungan berkenaan tidak mempunyai had tempoh terhadap mereka yang menduduki negara tersebut.

Dalam pada itu, Kamarul berkata sehingga kini pihaknya belum menerima sebarang permohonan rasmi daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk berjumpa dengan anak guamnya itu.

“Kita tidak mengetahui bahawa PDRM meminta untuk bertemu dengannya kerana apa-apa permohonan untuk berjumpa dengannya (Sirul) sebenarnya disemak oleh peguamnya

“Dan ia datang daripada perhatian peguamnya dan pusat tahanan mempunyai rekod permohonan orang yang mahu berjumpa dengannya,” jelasnya.

Mahkamah Rayuan pada 23 Ogos 2013 membebas dan melepaskan Sirul dan Inspektor Azilah Hadri daripada tuduhan membunuh wanita Mongolia, Altantuya Sharribuu.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.