Apa azam tahun baru you?

Apa azam tahun baru you?

Setiap kali menjelang tahun baru, sudah menjadi lumrah kita mendengar persoalan tersebut.

apa azam

“Apa azam tahun baru you?”

Setiap kali menjelang tahun baru, sudah menjadi lumrah kita mendengar persoalan tersebut. Daripada sahabat Facebook yang batang hidungnya tak pernah kita nampak hinggalah ke corong radio – ada-ada sahaja makhluk busy body ini. Saya sendiri pun dah berdarah dan bernanah telinga mendengar dek persoalan yang sama.

Pelik rasanya kerana masyarakat di sekeliling kita tampaknya lebih beriya-iya akan azam kita daripada diri kita sendiri. Mungkin juga lebih mudah bagi mereka bertanya akan azam orang lain daripada bertanya kepada diri sendiri apa sudah jadi dengan azam yang lama. Dan mungkin juga itu satu cara untuk memaksa kita bertanya akan azam mereka pula – agar lebih mudah untuk mereka mendabik dada.

“Happy New Year Fa! Apa azam tahun baru you?”

“Err…tak ada lah apa sangat….you?

“I berazam nak mendaki Gunung Kinabalu dan travel satu Eropah tahun ni.”

“Hebat lah you.”

“Thanks. Tahun 2015 I azam nak kuruskan badan, sekarang dah slim gitu, I nak praktikkan cara hidup aktif pulak lah.”

Meluat. Rasa loya pun ada.

Sesungguhnya, azam merupakan sesuatu yang sangat peribadi. Ia adalah satu ikatan perjanjian dengan diri kita sendiri.

“I nak berhenti merokok.”

“I nak sambung belajar.”

“I nak kahwin.”

Apa agaknya yang mahu kita capai dengan mempromosikan azam tahun baru macam promosi tudung bawal terbaru di pasaran? Mungkin juga ada yang mahu diberi tekanan daripada sahabat handai agar bisa mencapai azam.

“Eh, sedap nampak kau melatah ayam goreng dua tiga ketul. Apa jadi dengan azam tahun baru kau?”

Adoi. Apalah guna buang masa membuat azam kalau perlu orang lain yang memaksa kita melaksanakannya? Seolah-olah kita perlukan pihak ketiga untuk merealisasikan satu tanggungjawab.

“Aku ada meeting esok pagi jam 9. Tolong miss call dan kejutkan aku.”

“Eh, kalau kau ada meeting, kau lah yang kena bangun sendiri. Buat apa pulak aku yang kena kejutkan kau?”

Sedihnya masyarakat kita dah terbiasa dengan cara begini. Daripada melaung-laungkan azam tahun baru ke serata pelosok media sosial hinggalah terkinja-kinja mengharapkan orang lain memberi sokongan moral untuk mencapai azam diri sendiri. Lemahnya semangat.

Satu lagi kebiasaan kita adalah untuk menanam azam yang gila babi punya hebat. Semacam pertandingan makan sosej pula. Siapa makan paling banyak sosej boleh menang hamper Mi segera.

“Armand, apa azam baru kau?”

“Aku nak cari girl friend. Kau, Saladin?”

“Aku nak kawin. Kau, Khairul?”

“Aku nak beli kereta Ferrari.”

Terfikir juga saya, mengapa agaknya azam yang simple-simple tak laku?

I nak lebihkan senyuman.

I nak bagi salam setiap kali I masuk lif yang sesak.

I nak main dengan anak setiap hari minggu.

I nak belajar masak daripada bini I.

Sebetulnya tak salah menanam azam yang tinggi melangit. Tapi tak salah juga jika kita bertekad mahu melaksanakan sesuatu yang serba ringkas. Pokoknya, azam adalah perjanjian peribadi dan terpulanglah kepada diri kita sendiri untuk memastikan aspek hidup yang perlu sedikit rombakan atau penambahbaikan.

Sesungguhnya dalam hidup kita, terdapat lima aspek utama yang perlu diseimbangkan – kerohanian, kesihatan, kewangan, keluarga dan sosial. Adalah menjadi tanggungjawab kita terhadap diri kita sendiri untuk memastikan setiap aspek ini diberi pertimbangan yang sewajarnya bagi mencapai kehidupan yang seimbang.

Contohnya, jika kita asyik sibuk bekerja tanpa memedulikan kesihatan; jika kita asyik berulang alik ke masjid dan madrasah tetapi jarang meluangkan masa bersama anak dan isteri; jika kita sibuk berfacebook hingga lalai sembahyang; jika asyik bersama kawan hingga lupa ibu dan ayah di kampung – maka menjadi praktik bagi kita untuk berazam membuat sesuatu perubahan demi mencapai keseimbangan dalam hidup.

Moga kita semua berusaha mencapai keseimbangan tersebut.

Kepada semua pembaca, saya ucapkan Selamat Tahun Baru.

Jadi, apa azam tahun baru you?

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.