Profesionalisme doktor dimaki ‘keling’ dipuji

Profesionalisme doktor dimaki ‘keling’ dipuji

Shalini menunjukkan profesionalisma seorang doktor yang mendahulukan kebajikan pesakit

zachariah

PETALING JAYA:
Presiden Persatuan Perubatan Malaysia, Dr Ashok Zachariah memuji profesionalisme yang ditunjukkan oleh seorang doktor yang mendahulukan keperluan pesakit meskipun dihambur dengan kata-kata perkauman, lapor Star Online.

Beliau berkata demikian mengulas kejadian Dr Shalini Paramaswaran dimaki oleh seorang mangsa kemalangan yang tidak mahu dirinya dirawat kerana Shalini daripada kaum India.

Ashok menjelaskan Shalini melakukan sebaik mungkin dalam situasi yang sangat sukar dengan menghormati kehendak pesakit, namun dalam masa yang sama memastikan pesakit tidak terabai dan mendapat bantuan perubatan.

Ashok berkata para doktor perlu mendapatkan keizinan pesakit terlebih dahulu sebelum memberi rawatan dan Shalini menunjukkan kefahaman dan sifat kemanusiaan yang tinggi dengan mengawal perasaan meskipun dihambur kata-kata perkauman.

“Bila kamu terlibat dalam kemalangan, pesakit berada dalam keadaan terkejut, terutamanya dengan patah yang sebegitu rupa,” kata Ashok, menjelaskan bahawa adakalanya pesakit akan bertindak luar dari kebiasaan dalam keadaan itu.

Ashok menasihatkan para doktor yang menjadi mangsa perkauman semasa menjalankan tugas supaya mengekalkan profesionalma dan mendahulukan kebajikan pesakit.

Pada Ahad lalu, FMT melaporkan Shalini berkongsi cerita di Facebook mengenai seorang mangsa kemalangan yang tidak mahu seorang ‘keling’ menyentuh beliau, tetapi kemudiannya meminta maaf dengan berkata, “Saya taktahu awak doktor. Doktor boleh sentuh.”

Kejadian itu berlaku pada 29 Disember lalu itu, selepas menyaksikan pakcik tua itu tergelincir dan terjatuh daripada motorsikal semasa membuat pusingan U.

Menurut Shalini, meskipun pakcik itu tidak beri keizinan untuk merawatnya, beliau tetap berada di lokasi kejadian dan menghubungi ambulan serta memberi penerangan paramedik yang tiba tidak lama kemudian mengenai keadaan pakcik itu.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.