Pengerusi Majlis Ahli Parlimen Barisan Nasional (BNBBC), Tan Sri Shahrir Samad berkata, cerita mengenai Malaysia akan dijajah oleh Amerika Syarikat (AS) hanya satu momokan tidak tepat sehingga boleh mengganggu emosi.
Beliau yang turut membangkitkan persoalan mengenai penjajahan itu berkata, AS tidak mungkin menjajah 11 negara yang mungkin bersetuju dengan TPPA itu.
“Tidak mungkin AS akan menjajah 11 negara anggota TPPA kerana semua negara berkenaan adalah negara yang merdeka, bebas dan berdaulat.
“Takkan ini bermakna Brunei juga akan dijajah,” katanya yang dipetik dari laman portal bnbbc.my.
Justeru, Shahrir yakin perkara mengenai penjajahan adalah satu tuduhan tidak benar sebaliknya, langkah itulah yang sering dimomokkan pihak tidak bertanggungjawab yang tidak mahu melihat Malaysia menandatangani perjanjian berkenaan.
Dalam pada itu, beliau percaya, langkah kerajaan mengadakan penerangan TPPA secara terperinci di peringkat Parlimen dan Dewan Negara diyakini mampu menghentikan sebarang tanggapan tidak tepat mengenainya termasuk cerita penjajahan tersebut.
