TPPA: PPIM sedia boikot produk halal dari luar

TPPA: PPIM sedia boikot produk halal dari luar

PPIM bimbang produk halal dari luar tidak menepati standard halal yang ditetapkan oleh JAKIM

Nadzim-Johan
PETALING JAYA: Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) sedia untuk memboikot produk syarikat multinasional antarabangsa yang menandatangani Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA).

Presidennya, Datuk Nadzim Johan berkata, tindakan memboikot itu termasuk produk yang mempunyai sijil halal yang dikeluarkan oleh negara luar.

Ini kerana, katanya, PPIM bimbang sekiranya produk yang dibawa masuk ke negara ini bertentangan dengan citra budaya masyarakat Malaysia.

“Kita memang tidak akan beli produk-produk itu kalau ia tidak menepati kita punya keperluan dan kehendak, akhirnya tindakan yang kita akan buat (boikot). Jadi saya rasa TPPA harus dikaji lebih mendalam.

“Kita tidak tahu apa syarat perjanjian untuk membenarkan mana-mana produk (negara luar). Walaupun produk itu dikatakan halal tapi kalau tak ikut kita punya halal (tetap tidak menepati ciri-ciri Islam di Malaysia).

“Sesiapa boleh kata produk yang dibawa ini halal ada macam-macam, kadang-kadang mazhab pun berbeza apatah lagi bila melihat dari sudut negara yang mungkin fahamannya masih lagi liberal,” katanya kepada FMT.

Sehubungan itu, Nadzim berkata PPIM tetap dengan pendirian membantah TPPA yang ditandatangani oleh Malaysia kerana tidak mendatangkan keuntungan kepada negara.

“Setakat ini kita tidak menyokong TPPA ini dan ada persatuan lain juga tidak menyokong. Kita tidak nampak perjanjian ini menguntungkan kita.

“(sekiranya dilaksanakan) kita akan ambil tindakan selepas ini, kerana saya lihat kita masih tidak bersedia untuk melaksanakan (TPPA) di Malaysia. Memang kita boleh kata goreng pisang boleh dijual di Amerika Syarikat, tapi nak jual kat Kuala Lumpur pun tak boleh lagi,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.