Kerajaan perlu lebih tegas isu rakyat – Rahman

Kerajaan perlu lebih tegas isu rakyat – Rahman

Beliau memberi contoh isu perlombongan bauksit dan vape yang telah berlarutan terlalu lama

rahman-dahlan

PUTRAJAYA:
Kerajaan dan rakyat perlu lebih tegas dalam menangani isu-isu yang memberi kesan kepada negara ini, kata Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Datuk Abdul Rahman Dahlan.

Bercakap pada Majlis Mesra dengan kakitangan KPKT, Rahman mendedahkan bahawa pada mesyuarat Kabinet minggu lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak telah mendesak supaya menteri bertindak tegas terhadap isu-isu rakyat.

Katanya, Najib menegaskan supaya keputusan dibuat dengan cepat dan tepat kerana kelewatan hanya akan mewujudkan lebih banyak masalah kepada rakyat.

Ahli Parlimen Kota Belud itu memberi contoh isu-isu perlombongan bauksit dan vape, yang pada pendapatnya telah berlarutan terlalu lama.

Beliau juga menyentuh mengenai keperluan untuk ketegasan dalam isu-isu yang berkaitan dengan hak-hak Perlembagaan seperti hak penjagaan anak.

“Ia amat menyedihkan bagi kita apabila kanak-kanak dipisahkan dari ibu di atas nama agama,” katanya yang merujuk kepada kes Indira Gandhi yang hilang hak penjagaan anak selepas suaminya menukar agama anaknya kepada Islam.

Pada sesi soal jawab dengan kakitangan KPKT, Rahman berkata ketegasan tidak terhad kepada kerajaan tetapi juga kepada orang ramai.

Beliau berkata, rakyat mahukan kualiti hidup setaraf dengan negara lain di dunia, namun ramai menyuarakan bantahan kepada Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA).

TPPA, jelasnya, di samping berpotensi untuk mewujudkan pasaran baru bagi Malaysia ia juga menimbulkan rasa takut dalam kalangan rakyat.

“Kita perlu membuat keputusan sama ada kita mahu memeluk dunia atau berdiri sendiri.”

Beliau juga menyentuh isu pekerja asing.

Beliau berkata, orang ramai mengadu bahawa pekerja asing telah membanjiri pasaran kerja namun mereka enggan melakukan pekerjaan yang diisi pekerja asing tersebut.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.