“Defendan bertindak cuai dan berniat jahat apabila membuat kenyataan ‘Because dia ambik orang punya duit, taruk dalam personal account sendiri’, ‘Najib orang yang ambik duit orang lain, taruk dalam personal account sendiri’.
“Defendan membuat kenyataan itu tanpa mendapatkan versi plaintif (Najib),” kata Najib dalam kenyataan bela diri dan kenyataan balas kepada saman difailkan terhadap bekas Presiden MCA itu.
Dalam kenyataan balas itu, Najib menceritakan USD700 juta yang bersamaan RM2.6 bilion adalah derma daripada individu dari negara Timur Tengah, bukanlah sebahagian daripada RM42 bilion hutang yang ditanggung 1MDB.
Najib berkata, kenyataan yang dibuat defendan ketika pihak berkuasa sedang menjalankan siasatan dan ia boleh mempengaruhi hasil siasatan.
“Defendan bukan sahaja tidak berusaha mengesahkan kenyataan yang dibuat bahkan cuba mensensasi dan mencari publisiti murahan,” katanya yang memfailkan kenyataan balas bulan lalu.
Perdana Menteri berkata, jika Liong Sik merasakan beliau menyalahguna mahkamah, bekas Menteri Pengangkutan itu sepatutnya memfailkan permohonan mengetepikan saman fitnah itu.
Najib memfailkan saman terhadap Liong Sik pada 27 Oktober tahun lalu kerana mendakwa memfitnahnya. Liong Sik pula memfailkan saman balas kerana mendakwa Najib salah guna mahkamah.
