Azam fail saman fitnah terhadap Bloomberg

Azam fail saman fitnah terhadap Bloomberg

Writ saman dan penyata tuntutan difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hari ini.

AZAM BAKI
Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki bertegas dakwaan dalam suatu artikel Bloomberg ‘tidak berasas’.
PETALING JAYA:
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Azam Baki, memfailkan saman fitnah terhadap Bloomberg berhubung satu artikel baru-baru ini yang didakwa fitnah.

Firma guaman, Zain Megat & Murad, memaklumkan writ saman dan penyata tuntutan difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hari ini.

Butiran terperinci mengenai artikel didakwa memfitnah itu tidak dinyatakan dalam kenyataan media.

Tindakan sivil itu menuntut ganti rugi sewajarnya serta perintah injunksi kekal. Azam menegaskan dakwaan yang diterbitkan oleh Bloomberg adalah ‘tidak berasas’.

“Tindakan undang-undang ini dimulakan untuk membersihkan reputasinya,” menurut kenyataan.

Pada 12 Feb lalu, pihak Azam berkata tindakan undang-undang akan diambil terhadap Bloomberg bagi menuntut ganti rugi RM100 juta berhubung laporan yang mendakwa beliau memegang 17.7 juta saham dalam sebuah syarikat perkhidmatan kewangan.

Zain Megat & Murad berkata laporan, cadangan dan sindiran dalam artikel itu “mengandungi libel, tidak bertanggungjawab dan amat mengelirukan”, serta menyebabkan kecederaan serius pada Azam serta maruah, kredibiliti dan integriti institusi pejabatnya.

Menurut firma itu, saham yang dirujuk dalam laporan berkenaan telah dilupuskan sebelum penerbitan, dan boleh disahkan menerusi deklarasi dan rekod dokumen sedia ada.

Bloomberg dalam artikelnya melaporkan Azam memegang 17.7 juta saham dalam Velocity Capital Bhd, atau 1.7% berdasarkan penyata tahunan syarikat pada 3 Feb tahun lalu.

Nama Azam dilaporkan masih tersenarai dalam daftar pemegang saham syarikat itu di Suruhanjaya Syarikat Malaysia.

Perkara ini dikatakan melanggar pekeliling kerajaan 2024 yang menyatakan penjawat awam boleh memegang saham dalam syarikat yang diperbadankan di Malaysia, dengan syarat pegangan tidak melebihi 5% daripada modal berbayar atau RM100,000 nilai pasaran, yang mana lebih rendah.

Azam menegaskan beliau tidak melakukan sebarang kesalahan atau memiliki sebarang saham dalam pasaran pada masa ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.