
Hakim Mahkamah Tinggi Mahazan Mat Taib merekodkan penyelesaian tersebut hari ini, iaitu hari ketiga perbicaraan, dan berterima kasih kepada kedua-dua pihak kerana mencapai penyelesaian secara damai.
Dalam kenyataan yang dibacakan di mahkamah, Najib berkata, beliau menerima hakikat bahawa Dzulkefly tidak terlibat dalam pelantikan anak perempuan pemimpin Amanah itu, Nurul Iman, menganggotai lembaga pemegang amanah Amanah Ikhtiar Malaysia pada Oktober 2018.
Dzulkefly, yang kini menteri kesihatan, turut pernah menyandang jawatan tersebut dari Mei 2018 hingga Februari 2020.
“Saya terima bahawa beliau tidak terlibat dalam pelantikan (Nurul Iman) dan tidak wujud unsur nepotisme di pihak beliau. Saya ingin menjelaskan bahawa hantaran tersebut tidak berniat untuk memfitnah, mahupun memberi gambaran bahawa plaintif seorang yang korup atau terlibat dengan amalan nepotisme dan kronisme.
“Sebaliknya, ia bertujuan membangkitkan persepsi mengenai wujudnya berat sebelah dalam kalangan parti politik,” katanya.
Bekas Ahli Parlimen Pekan itu berkata, hantaran Facebook yang diterbitkan pada 2020 itu sekadar ulasan politik umum mengenai isu-isu tatakelola, pentadbiran, dan pelantikan dalam entiti berkaitan kerajaan, yang lebih meluas.
Perkara-perkara tersebut merupakan topik wacana awam dan perdebatan politik yang aktif, tambahnya.
“Walaupun hantaran saya ialah ulasan politik, saya akui tekanan yang telah dialami oleh Dzulkefly dan keluarganya, yang mana ia tidak pernah menjadi niat saya sama sekali.
“Atas semangat melangkah ke hadapan secara membina, saya ucapkan selamat maju jaya kepada beliau dalam meneruskan khidmat buat rakyat dan negara, serta memanjangkan ucapan tulus ikhlas ini kepada beliau sekeluarga,” kata Najib.
Hakim berterima kasih kepada semua pihak kerana menyelesaikan saman tersebut, menyatakan ia mencerminkan sikap tanggungjawab Najib dalam mengembalikan maruah pihak yang terkesan oleh kenyataannya.
“Saya hargai usaha kedua-dua pihak dalam menyelesaikan perkara ini, terutamanya bagi kes kepentingan awam yang melibatkan pihak-pihak berprofil tinggi,” katanya.
Dzulkefly, 70, memfailkan saman RM5 juta itu pada Januari 2022, mendakwa Najib memuat naik hantaran Facebook yang memfitnahnya pada 24 Ogos 2020.
Beliau mendakwa hantaran tersebut bertujuan menjatuhkan reputasinya, memberikan gambaran bahawa beliau mengamalkan nepotisme dengan memastikan anak perempuannya dilantik menganggotai lembaga Amanah Ikhtiar Malaysia.
Dalam pernyataan pembelaannya yang difailkan pada 29 Mac 2022, Najib menegaskan bahawa hantaran itu merujuk kepada gabungan Pakatan Harapan, bukannya Dzulkefly.
Peguam Stanley Sabastien Sinnappen mewakili Dzulkefly, manakala Shafee Abdullah dan Farhan Shafee tampil bagi pihak Najib.