
Keputusan itu dibuat panel tiga hakim dipengerusikan Hakim Collin Lawrence Sequerah, yang membenarkan rayuan silang Lo berhubung kuantum ganti rugi.
Sequerah, yang kini hakim Mahkamah Persekutuan, bersidang bersama Hakim Faizah Jamaludin dan Ong Chee Kwan.
Mahkamah memerintahkan Star Media Group Bhd dan tiga wartawan itu membayar kos RM50,000 kepada Lo.
Panel hakim turut menolak rayuan organisasi media itu berhubung liabiliti dan kuantum ganti rugi.
Hakim Faizah yang menyampaikan keputusan sebulat suara mahkamah berkata, jumlah tambahan itu akan menjadi ganti rugi keseluruhan, tanpa perlu membezakan jenis ganti rugi.
Beliau berkata, tiada sebab untuk mengganggu keputusan Hakim Mahkamah Tinggi, Alice Loke.
Pada 9 Nov 2023, Loke memutuskan Lo berjaya membuktikan kesnya atas dasar imbangan kebarangkalian, manakala semua pembelaan defendan telah gagal, sebelum memutuskan ganti rugi RM200,000 kepadanya.
Saman plaintif tertumpu kepada dua artikel diterbitkan The Star pada 16 dan 25 Mei 2019 membabitkan komen di Facebook oleh seorang wartawan yang diterbitkan pada 25 Mei 2019.
Loke dalam penghakimannya berkata, artikel itu merujuk Lo dan bersifat fitnah.
Jelasnya, apabila dibaca dalam maksud biasa dan secara keseluruhan, artikel itu membawa implikasi bahawa plaintif perwatakan tidak bermaruah.
Katanya, kandungan artikel itu memfitnah dan merosakkan reputasi Lo secara serius, selain defendan gagal membuktikan pembelaan justifikasi dan keistimewaan berkelayakan.
Menurutnya, sebahagian penerbitan yang mendakwa Lo pencabul dan mempunyai sejarah penyalahgunaan dadah serta keganasan rumah tangga tidak disokong bukti boleh dipercayai.
“Defendan tidak boleh mengelak liabiliti dengan menggunakan perkataan seperti ‘didakwa’ atau sekadar melaporkan kandungan laporan polis.”
Beliau juga mendapati defendan gagal mengemukakan sudut pandangan Lo dan melampaui batas kewartawanan bertanggungjawab.
Peguam Alfred Chong mewakili Lo, manakala organisasi media dan wartawan itu diwakili Izral Khairy serta Esther Soo.