Hakim bersara antara dilantik ahli Lembaga Pengampunan WP, kata sumber

Hakim bersara antara dilantik ahli Lembaga Pengampunan WP, kata sumber

Pelantikan tersebut membolehkan Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan menyambung semula pendengaran petisyen pengampunan.

istana negara
Perkara 42(11) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa Yang di-Pertuan Agong boleh melantik sehingga tiga ahli ke dalam Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan.
PETALING JAYA:
Seorang hakim bersara dan bekas pegawai kanan polis telah dilantik menganggotai Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan (FTPB), kata satu sumber, sekali gus membolehkan lembaga itu menyambung semula pendengaran petisyen pengampunan.

Menurut sumber itu, surat pelantikan dikeluarkan awal bulan ini bagi tempoh tiga tahun, namun berkuat kuasa pada penghujung April.

Di bawah Perkara 42(6) Perlembagaan Persekutuan, semua ahli lembaga memegang jawatan selama tiga tahun dan layak dilantik semula.

Perkara 42(11) turut memperuntukkan bahawa Yang di-Pertuan Agong boleh melantik sehingga tiga ahli ke dalam FTPB.

Awal bulan ini, FMT melaporkan jawatan tersebut dibiarkan kosong kerana pelantikan dibuat atas nasihat kerajaan persekutuan selaras dengan kerangka perlembagaan.

Menurut Perkara 42(8) Perlembagaan, FTPB bersidang di hadapan Yang di-Pertuan Agong yang mempengerusikan mesyuarat itu. Perlembagaan tidak menetapkan berapa kerap lembaga itu perlu bersidang setiap tahun.

Namun, kuorum penuh sehingga lima ahli boleh bersidang untuk mempertimbangkan sama ada memberi pengampunan, penangguhan dan pelepasan hukuman, atau mengurangkan, menggantung serta menukar hukuman yang dijatuhkan mahkamah, tambah sumber itu.

Perkara 42(5) memperuntukkan bahawa peguam negara adalah ahli lembaga tersebut.

Hannah Yeoh kini menganggotai lembaga itu atas kapasitinya sebagai menteri wilayah persekutuan.

Masih belum jelas sama ada FTPB turut akan mendengar permohonan pengampunan bekas perdana menteri Najib Razak.

Pada Mac lalu, FMT melaporkan Najib telah mengemukakan permohonan pengampunan baharu kepada lembaga itu bagi mendapatkan pengampunan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.