
Dalam membantah permohonan Najib supaya penghakiman itu ditangguhkan sementara menunggu rayuan, peguam P Gananathan yang mewakili syarikat berhujah, kesukaran yang didakwa oleh Najib hanyalah akibat biasa daripada penghakiman berbentuk kewangan.
“Sebarang kesukaran yang dirasai akibat aset dilikuidasi, gangguan aliran tunai atau kesan keseluruhan terhadap kestabilan kewangan tidak boleh dianggap sebagai keadaan luar biasa.
“Ketakutan untuk mengalami kerugian atau berdepan kemusnahan kewangan tidak menghalang pelaksanaan penghakiman sebagai proses semula jadi selepas keputusan dibuat. Keadaan peribadi ini bukanlah luar biasa,” katanya.
Gananathan turut berhujah bahawa kedudukan Najib sebagai tokoh awam tidak melayakkannya menerima layanan istimewa dan tidak menjadikan kesan biasa hutang penghakiman sebagai keadaan luar biasa yang memerlukan penangguhan pelaksanaan.
‘Jumlah sangat besar, belum pernah berlaku’
Bagaimanapun, peguam Najib, Farhan Shafee, berhujah bahawa kes itu luar biasa kerana jumlah penghakiman yang ‘terlalu besar’.
“Jumlah dalam kes ini melangkaui kategori ‘besar’ dan dianggap kejadian luar biasa,” katanya.
Beliau berkata, berikutan jumlah yang amat besar itu, pelaksanaan penghakiman pada tahap ini akan membawa kesan kewangan yang serius terhadap Najib dan mungkin tidak dapat dipulihkan, selain menjejaskan nilai praktikal rayuan yang masih belum diputuskan.
Tambahnya, walaupun kes terdahulu melibatkan jumlah yang masih boleh diurus dalam kerangka undang-undang biasa, penghakiman USD1.3 bilion dalam kes ini ‘belum pernah berlaku’.
SRC dalam proses penggulungan
Farhan turut menjelaskan bahawa SRC International telah secara rasmi digulungkan dan pelikuidasi telah dilantik, sekali gus menimbulkan kesukaran secara praktikal untuk mendapatkan semula wang itu sekiranya Najib berjaya dalam rayuan.
Katanya, tanpa penangguhan, sebarang kejayaan rayuan pada masa depan mungkin menjadi tidak bermakna kerana jumlah penghakiman itu mungkin sudah diagihkan melalui proses penggulungan syarikat.
“Memandangkan plaintif telah digulungkan dan kini dalam proses likuidasi, terdapat risiko yang sah dan nyata bahawa jumlah besar USD$1.3 bilion itu mustahil untuk diperoleh semula sekiranya rayuan (Najib) berjaya, sekali gus menjadikan rayuan tersebut sia-sia,” katanya.
Bagaimanapun, Gananathan membalas bahawa perintah penggulungan bertarikh 19 Jan mengarahkan semua wang yang diterima pelikuidasi disalurkan ke Akaun Amanah Kumpulan SRC yang dikendalikan oleh Kementerian Kewangan Diperbadankan (MoF Inc).
“Oleh itu, sebarang jumlah yang diperoleh melalui pelaksanaan penghakiman akhirnya akan dipegang dan diuruskan oleh MOF Inc, dan secara efektif dipegang oleh kerajaan untuk manfaat syarikat,” katanya.
Farhan turut menegaskan bahawa Najib masih berdepan hukuman jenayah besar berkaitan prosiding SRC dan 1MDB yang berasingan dan pelaksanaan segera penghakiman sivil itu boleh menjejaskan keupayaannya memenuhi tanggungjawab tersebut.
Hakim Ahmad Fairuz Zainol Abidin menetapkan 13 Mei untuk memutuskan permohonan itu.
SRC International turut diwakili peguam Kwan Will Sen, Lee Suan Cui, Luc Choong dan Koo Jia Ying, manakala Najib turut diwakili Shafee Abdullah.
Pada 31 Mac lalu, Mahkamah Tinggi memberikan penghakiman USD$1.3 bilion kepada SRC International selepas memutuskan bahawa Najib melanggar tugas fidusiarinya, menyalahgunakan kedudukannya dan bertindak dengan niat tidak baik sehingga menyebabkan kerugian kepada syarikat itu.