Najib tarik balik rayuan keputusan tolak permohonan tahanan rumah

Najib tarik balik rayuan keputusan tolak permohonan tahanan rumah

Awal bulan ini, bekas PM memfailkan notis penarikan balik yang menutup sebarang cubaan kelak untuk menjalani baki hukuman penjara kes SRC International di rumah.

NAJIB RAZAK
Pada 22 Dis lalu, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Alice Loke menolak permohonan Najib Razak untuk semakan kehakiman bagi menjalani baki hukuman penjara enam tahunnya dalam kes SRC International di bawah tahanan rumah.
PETALING JAYA:
Bekas perdana menteri, Najib Razak menarik balik rayuannya terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonannya untuk menjalani baki hukuman penjara dalam kes SRC International di bawah tahanan rumah.

Malay Mail melaporkan notis penarikam balik difailkan pasukan guaman Najib, Messrs Shafee & Co pada 3 April lalu.

Tiada alasan diberikan untuk penarikan balik itu, tetapi menurutnya, ia ditarik balik “tanpa kebebasan untuk difailkan semula dan tanpa perintah berkaitan kos”.

Ini bermakna Najib tidak boleh memfailkan semula rayuan sama untuk memohon tahanan rumah dalam kes SRC International.

Pada 22 Dis lalu, Hakim Alice Loke menolak permohonan Najib untuk menjalani hukuman penjara enam tahun yang telah dikurangkan dalam kes SRC International di bawah tahanan rumah.

Loke dalam keputusannya berkata, Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan telah memberi nasihat berhubung cadangan pengampunan penuh dan pengurangan hukuman penjara sebanyak 50%, tetapi soal tahanan rumah tidak dibincangkan dalam mesyuarat dipengerusikan Yang di-Pertuan Agong.

Menurutnya, Agong hanya membuat satu keputusan berhubung pengurangan hukuman penjara dan denda.

Pada 26 Dis lalu, Hakim Mahkamah Tinggi Putrajaya, Collin Lawrence Sequerah menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun kepada Najib dan mendendanya RM11.387 bilion susulan sabitannya atas semua 25 pertuduhan penyalahgunaan kuasa dan pengubahan wang haram dalam kes 1MDB.

Beliau memerintahkan hukuman penjara Najib bermula 2028, selepas menamatkan hukuman penjara enam tahunnya dalam kes SRC International.

Mahkamah mendapati Najib bersalah atas empat pertuduhan salah guna kuasa dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana 1MDB RM2.28 bilion yang didepositkan ke akaun AmBanknya antara Februari 2011 dan Disember 2014.

Beliau dijatuhkan hukuman penjara 15 tahun atas setiap pertuduhan salah guna kuasa, dengan hukuman berjalan serentak.

Bagi 21 pertuduhan pengubahan wang haram, Sequerah menjatuhkan hukuman penjara lima tahun atas setiap pertuduhan, juga berjalan serentak dan memerintahkannya membayar jumlah boleh dipulihkan sebanyak RM2.08 bilion.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.