Umno Johor janji tak sia-sia peluang kedua, kata ketua menjelang PRN

Umno Johor janji tak sia-sia peluang kedua, kata ketua menjelang PRN

Onn Hafiz Ghazi berkata mandat besar pada PRN 2022 digunakan sebaiknya melalui pelbagai usaha dan inisiatif yang telah dirancang.

Onn Hafiz Ghazi umno bernama pic 2526
Onn Hafiz Ghazi berkata kerajaan Johor berjaya catat pertumbuhan KDNK 6.4% dan hasil lebih RM2.6 bilion. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Umno Johor berikrar tidak akan mensia-siakan peluang kedua diberikan rakyat selepas kemenangan pada PRN Johor 2022.

Ikrar itu disuarakan Ketuanya Onn Hafiz Ghazi, ketika parti berkenaan bakal berdepan satu lagi pilihan raya negeri selewat-lewatnya April tahun depan dengan ada spekulasi lebih awal.

Merujuk kekalahan pada 2018 menyaksikan Barisan Nasional (BN) kalah pentadbiran Putrajaya dan Johor, Onn Hafiz berkata parti itu terus membela rakyat dan memajukan negeri itu.

Menteri besar Johor itu berkata mandat diberikan rakyat dengan menguasai 40 daripada 56 DUN, empat tahun lalu digunakan sebaiknya melalui pelbagai usaha dan inisiatif yang telah dirancang.

Menurutnya, hasil usaha berterusan serta sokongan semua pihak telah membolehkan Johor mencatatkan pelbagai pencapaian yang membanggakan seperti pelaburan tertinggi selain mewujudkan kira-kira 80,000 peluang pekerjaan.

“Johor juga mencatat pertumbuhan KDNK 6.4% yang tertinggi dalam negara serta hasil negeri melebihi RM2.6 bilion

“Sektor pertanian negeri turut mencatat hasil jualan tertinggi di Malaysia, selain Johor melakar sejarah sebagai negeri pertama diiktiraf sebagai ‘smart state’,” katanya berucap pada Konvensyen 80 Tahun Umno di WTCKL.

Menurutnya, beliau juga akan mengumumkan usaha kerajaan Johor mengurangkan beban kos sara hidup menerusi Bantuan Kasih Johor pada minggu depan.

Onn Hafiz dalam ucapannya turut memberi penghargaan terhadap bekas perdana menteri Najib Razak dan menyokong segala usaha mendapat keadilan bagi mantan presiden Umno itu.

“Johor tidak pernah lupa jasa Najib, kami merindui susuk tubuh pemimpin ini,” katanya.

Dalam masa sama, Onn Hafiz menegaskan sokongan Umno Johor terhadap usaha Presiden Zahid Hamidi dalam memperjuangkan nasib Najib.

“Umno Johor menyokong penuh segala usaha presiden mendapatkan keadilan bagi Najib, bosku kita,” katanya.

Najib, 72, disabitkan kesalahan enam tahun lalu kerana menyeleweng RM42 juta dana SRC International. Beliau didenda RM210 juta dan dijatuhi hukuman penjara 12 tahun, yang mula dijalani di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022.

Bagaimanapun, Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan (FTPB) kemudiannya mengurangkan tempoh penjara kepada enam tahun dan menurunkan denda kepada RM50 juta.

Najib pada 27 April lalu menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi dalam permohonan semakan kehakimannya bagi mendapatkan perintah supaya beliau menjalani baki hukuman penjara melalui tahanan rumah.

Pada 22 Disember tahun lalu, Hakim Mahkamah Tinggi Alice Loke Yee Ching, menolak permohonan semakan kehakiman Najib bagi memaksa kerajaan dan enam yang lain untuk melaksanakan Titah Adendum itu.

Loke memutuskan demikian selepas berpuas hati isu berkaitan tahanan rumah tidak pernah disebut dan dibincangkan serta diputuskan dalam mesyuarat Lembaga Pengampunan yang bersidang pada 29 Januari 2024.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.