Jalaluddin ‘terpaksa akur’, kata ketua PAS N Sembilan

Jalaluddin ‘terpaksa akur’, kata ketua PAS N Sembilan

Mohd Fairuz Mohd Isa yang juga Adun Serting berkata beliau faham Ketua Umno negeri itu yang perlu menurut keputusan partinya.

Mohd Fairuz Mohd Isa dan Jalaluddin Alias tile pic 30426
Pesuruhjaya PAS negeri, Mohd Fairuz Mohd Isa, berkata beliau hormat kepada Umno Negeri Sembilan di bawah pimpinan Jalaluddin Alias kerana konsisten dengan pendirian terhadap Menteri Besar Aminuddin Harun.
PETALING JAYA:
Perikatan Nasional (PN) Negeri Sembilan tidak mengalami sebarang kerugian selepas Umno-Barisan Nasional (BN) mengumumkan untuk terus menyokong kerajaan perpaduan negeri.

Pesuruhjaya PAS negeri, Mohd Fairuz Mohd Isa, berkata malah beliau menyuarakan rasa hormat kepada Umno Negeri Sembilan di bawah pimpinan Jalaluddin Alias kerana konsisten dengan pendirian terhadap Menteri Besar Aminuddin Harun.

Katanya, beliau memahami Jalaluddin terpaksa akur dengan keputusan partinya.

“Tempoh hari, kami hanya menyatakan kesediaan bekerjasama dengan Umno-BN Negeri Sembilan selepas mereka mengumumkan sudah hilang keyakinan terhadap menteri besar.

“Tapi, apabila malam tadi mereka buat keputusan lain, kita tiada masalah dan tak rasa rugi apa-apa pun,” katanya kepada Sinar Harian.

Fairuz yang juga Adun Serting, berkata beliau bersama dua Adun PAS lain dan dua Adun Bersatu akan terus konsisten menjalankan khidmat kepada rakyat serta memainkan peranan semak dan imbang kerajaan.

“Walaupun Aminuddin kata semuanya berjalan lancar, tapi bagi saya secara realiti apa berlaku hari ini menunjukkan keadaan itu sebaliknya.

“Saya percaya urus tadbir itu tidak akan berjalan lancar. Tapi kami sebagai pembangkang harapkan situasi ini dapat diselesaikan secepat mungkin kerana tidak mahu akhirnya nanti rakyat yang terkesan,” katanya.

Semalam, Setiausaha Agung Umno Asyraf Wajdi Dusuki berkata Umno terus menyokong kerajaan perpaduan di Negeri Sembilan, namun berpendirian menghormati Adun negeri itu yang kekal hilang kepercayaan terhadap Aminuddin.

Terdahulu, semua 14 Adun BN-Umno menarik balik sokongan terhadap Aminuddin atas alasan hilang keyakinan terhadap menteri besar dari PKR itu.

Jalaluddin berkata, keputusan itu berkait dengan krisis berterusan membabitkan empat undang luak yang mahu menyingkirkan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan daripada kedudukannya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.