
Katanya, kenyataan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu Dr Afif Bahardin yang mendakwa wujud persetujuan itu tidak mencerminkan pendirian sebenar PAS negeri.
“Tiada keputusan rasmi dalam mana-mana mesyuarat PAS Selangor yang memutuskan sokongan pada Azmin Ali untuk mengetuai PN Selangor,” katanya dalam kenyataan.
Semalam, Afif mendakwa PAS Selangor bersetuju Azmin yang juga Adun Hulu Kelang kembali mengetuai PN Selangor, ketika masih ada suara daripada parti berkenaan menuntut jawatan berkenaan.
Mengulas kenyataan Bendahari PAS Iskandar Samad yang wajar parti itu mengetuai PN Selangor, Afif berkata pandangan bekas Adun Chempaka itu disifatkan terpencil.
Beliau mendakwa, dalam pertemuan dengan PAS Selangor baru-baru ini, mereka menyatakan mahu status quo atas dasar kesepakatan PN di negeri itu telah terbukti berkesan.
Dalam pada itu, Sukri menjelaskan, suara akar umbi parti di Selangor jelas mahukan PAS memimpin PN negeri berdasarkan kekuatan gerak kerja serta konsistensi parti itu di lapangan.
Menurutnya, dakwaan kononnya PAS Selangor bersetuju mengekalkan ‘status quo’ juga hanyalah tafsiran sendiri dan bukan pendirian rasmi parti.
Katanya, pelantikan siapa yang menerajui PN negeri merupakan kuasa mutlak pengerusi PN.
“Kita menyerahkan sepenuhnya kepada kebijaksanaan pengerusi PN untuk membuat keputusan terbaik, setelah mendengar pandangan dan denyut nadi akar umbi.
“Fokus utama ketika ini adalah terus membawa isu rakyat dan menjadi suara paling lantang untuk rakyat,” katanya.