
Ada satu cadangan untuk kerajaan Negeri Sembilan yang diterajui Pakatan Harapan (PH) — bubarkan DUN sekarang dan adakan pilihan raya mengejut.
Umno Negeri Sembilan telah menunjukkan sikap sebenar apabila bertindak ‘menikam dari belakang’ PH, menarik balik sokongan terhadap Menteri Besar Aminuddin Harun dan secara terbuka menyatakan ia sudah ‘cukup jumloh’ untuk membentuk kerajaan dengan sokongan Adun Perikatan Nasional (PN).
Aminuddin wajar menyahut cabaran ini. Buat masa ini, PH sebenarnya berada dalam kedudukan lebih kukuh berbanding Umno dan PN di negeri itu.
Langkah Umno itu boleh dilihat sebagai versi lebih kecil kepada ‘Langkah Sheraton’ yang pernah dilakukan PN — usaha membentuk kerajaan secara pintu belakang tanpa mandat jelas rakyat.
Dulu, pentadbiran Muhyiddin Yassin juga menggunakan alasan memperjuangkan kepentingan Melayu-Islam, tetapi ia tidak bertahan lama kerana gagal mendapat sokongan tulen orang Melayu.
Kini, dalam situasi baharu ini, Umno dilihat sebagai pelaku utama, dengan PN sebagai rakan sekutu.
Langkah ini jelas berunsur oportunis — menggunakan alasan kepentingan masyarakat, tetapi tanpa keikhlasan. Pengundi dijangka tidak mudah terpedaya, malah kedua-dua parti berisiko dihukum dalam pilihan raya.
Tambahan pula, PN sendiri bukanlah sekutu yang stabil. Konflik dalaman antara Muhyiddin Yassin dan bekas timbalannya, Hamzah Zainudin, boleh menjejaskan tumpuan PAS dan memburukkan lagi perpecahan dalam blok pembangkang.
Ketika ini, peluang memihak kepada PH — dan mereka perlu bertindak segera ketika momentum masih memihak kepada mereka.
Dalam masa yang sama, PAS dilihat terlalu tertumpu pada isu penternakan babi di Selangor — retorik yang berpotensi menjauhkan pengundi bukan Melayu di Negeri Sembilan.
Ini boleh menyebabkan undi protes beralih kepada PH, walaupun pengundi atas pagar masih belum menunjukkan sokongan jelas.
Bagi BN pula, parti komponen seperti MCA dan MIC mungkin sukar menjelaskan kerjasama baharu dengan PN dan berisiko dilihat bersalah kerana bersekongkol.
Pengundi bukan Melayu dijangka terus menyokong PH, tetapi sentimen pengundi Melayu masih belum pasti. Pertembungan antara institusi Undang dan Yang di-Pertuan Besar, Tuanku Muhriz Tuanku Munawar, juga boleh memberi kesan besar.
Jika Tuanku Muhriz lebih mendapat sokongan rakyat berbanding Undang, gabungan Umno-PN mungkin akan berdepan keputusan yang tidak memihak kepadanya.
Di peringkat nasional pula, ekonomi sedang menunjukkan tanda pemulihan. Menukar kerajaan negeri kepada gabungan Umno-PN berisiko mengganggu momentum ini. Lagipun, bila kali terakhir gabungan itu mengemukakan pelan ekonomi yang benar-benar meyakinkan?
Sebagai kerajaan sedia ada, PH mempunyai kelebihan mengawal jentera negeri serta mendapat sokongan kerajaan persekutuan, termasuk dalam menyalurkan bantuan menjelang pilihan raya. Sama ada disukai atau tidak, faktor ini memang memberi kelebihan.
Selagi tiada sabotaj dalaman, PH berpotensi memenangi majoriti yang kukuh. Pilihan raya mengejut bukan sahaja dapat mengesahkan sokongan rakyat terhadap kepimpinan Aminuddin, malah boleh menjadi tamparan besar kepada Umno dan PN di Negeri Sembilan.
Pertembungan ini bukan sekadar pilihan raya negeri — ia boleh menjadi ujian awal untuk PRU16. Ia juga bakal menyaksikan persaingan antara parti berasaskan kepelbagaian rakyat Malaysia dengan parti berasaskan kaum.
Mungkin sudah tiba masanya rakyat menghantar mesej yang jelas kepada ahli politik tentang keutamaan sebenar yang perlu mereka perjuangkan.
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.