
Setiausaha Agung Umno Asyraf Wajdi Dusuki dalam satu kenyataan berkata isu itu dibincangkan dalam Mesyuarat Biro Politik Umno semalam yang membuat beberapa ketetapan.
Katanya, Umno memandang serius perkembangan mutakhir yang melibatkan krisis institusi raja dan adat Negeri Sembilan hingga mencetuskan polemik besar dan salah faham serius dalam kalangan anggota komponen parti yang membentuk kerajaan perpaduan di negeri itu.
“Umno juga mendengar penjelasan tuntas daripada pengerusi Umno Negeri Sembilan mengenai tindakan Adun Barisan Nasional (BN) yang hilang kepercayaan kepada menteri besar kerana sikap beliau membelakangkan institusi adat dan undang-undang tubuh negeri.
“Umno berpendirian untuk menghormati Adun BN yang kekal hilang kepercayaan kepada menteri besar namun terus menyokong kerajaan perpaduan di Negeri Sembilan bagi memastikan kestabilan dan kesejahteraan rakyat terpelihara,” katanya dalam kenyataan itu.
Katanya, satu pertemuan segera antara Biro Politik Umno dan Biro Politik Pakatan Harapan (PH) harus diadakan segera bagi merungkai beberapa isu yang melibatkan prinsip-prinsip perjuangan parti masing-masing.
“Ini seiring dengan Klausa 5(c) Perjanjian Persefahaman dalam membentuk kerajaan perpaduan yang menuntut segala isu dasar yang diperselisihkan diselesaikan dalam Majlis Perundingan,” katanya.
Semua 14 Adun BN-Umno sebelum ini menarik balik sokongan terhadap Aminuddin atas alasan hilang keyakinan terhadap menteri besar dari PKR itu.
Ketuanya Jalaluddin Alias berkata keputusan itu berkait dengan krisis berterusan membabitkan empat undang luak yang mahu menyingkirkan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan daripada kedudukannya.
Selasa lalu, presiden Umno yang juga Pengerusi BN Zahid Hamidi dan Pengerusi PH, Anwar Ibrahim, mengadakan pertemuan bagi membincangkan krisis politik tersebut.