Jangan lupa ‘luka’ dengan PN, pemimpin Amanah ingatkan BN

Jangan lupa ‘luka’ dengan PN, pemimpin Amanah ingatkan BN

Sany Hamzan dakwa PN kini dilihat cuba ambil kesempatan daripada keadaan politik Negeri Sembilan untuk bentuk kerajaan baharu.

Sany Hamzan
Ahli Jawatankuasa Pimpinan Nasional Amanah Sany Hamzan berkata kerajaan negeri dibentuk atas dasar persefahaman antara PH dan BN, justeru semua pihak perlu kembali ke meja rundingan. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Seorang pemimpin Amanah mengingatkan Barisan Nasional (BN) supaya menilai pengalaman lalu bekerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) sebelum membuat keputusan berhubung kemelut politik di Negeri Sembilan.

Bercakap kepada FMT, Ahli Jawatankuasa Pimpinan Nasional Amanah, Sany Hamzan, mendakwa PN kini dilihat cuba mengambil kesempatan daripada keadaan politik negeri itu untuk membentuk kerajaan baharu.

Pengarah pilihan raya Amanah itu turut membandingkan kerjasama Pakatan Harapan (PH) dan BN di Selangor, yang menurutnya memberi ruang kepada Umno dalam pentadbiran seperti jawatan exco kerajaan negeri, ketua kampung dan ahli majlis.

Ahli Parlimen Hulu Langat itu merujuk kesediaan PN bekerjasama bagi membentuk kerajaan negeri dengan BN selepas gabungan berkenaan menarik balik sokongan terhadap Menteri Besar Negeri Sembilan Aminuddin Harun, Isnin lalu.

“Umno dan BN perlu ingat mereka ada pengalaman bekerjasama dengan PN sebelum ini,” kata Sany merujuk pengalaman kerjasama PN dan BN dari 2020 hingga 2022 bagi membentuk pentadbiran di Putrajaya.

Kerjasama itu berlangsung selepas kerajaan PH yang menang PRU14 tumbang akibat ‘Langkah Sheraton’.

Mengulas lanjut, Sany berkata sebarang masalah dalam kerajaan perpaduan negeri sepatutnya diselesaikan melalui rundingan, bukan tindakan menarik sokongan atau mengosongkan jawatan.

Beliau berkata, kerajaan negeri dibentuk atas dasar persefahaman antara PH dan BN, justeru semua pihak perlu kembali ke meja rundingan jika wujud pertikaian.

“Jika ada masalah, selesaikan melalui meja rundingan. Jangan menangguk di air keruh,” katanya.

Katanya, isu di Negeri Sembilan bukan semata-mata mengenai politik, tetapi melibatkan institusi istana dan adat, termasuk peranan Undang serta Yang di-Pertuan Besar.

Krisis Negeri Sembilan tercetus selepas Mubarak Dohak, bekas Undang Sungei Ujong, mengumumkan penyingkiran Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sebagai Yang di-Pertuan Besar pada sidang media bersama tiga Undang lain pada 19 April.

Bagaimanapun, Aminuddin berkata kerajaan negeri tidak mengiktiraf penyingkiran Tuanku Muhriz kerana Mubarak telah disingkirkan secara sah sebagai Undang pada 13 Mei tahun lalu kerana melanggar hukum adat.

Kelmarin, semua 14 Adun Umno-BN diketuai Jalaluddin Alias mengumumkan menarik balik sokongan terhadap Aminuddin sebagai menteri besar.

Mereka mendakwa, tindakan dibuat kerana Aminuddin gagal mengurus krisis melibatkan institusi adat, perlembagaan negeri, serta Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan.

BN Negeri Sembilan kemudian mendakwa ia memiliki majoriti mudah dalam DUN yang mempunyai 36 kerusi untuk membentuk kerajaan baharu, dengan sokongan lima Adun PN.

Gabungan BN-PN menyaksikannya mendapat 19 kerusi, mengatasi 17 oleh PH di DUN Negeri Sembilan.

Bagaimanapun, Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata Aminuddin akan menjalankan tugas seperti biasa susulan titah Tuanku Muhriz.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.