‘Bincang anak beranak’, pembesar N Sembilan bertemu petang tadi

‘Bincang anak beranak’, pembesar N Sembilan bertemu petang tadi

Pertemuan berlangsung sekitar 3.30 petang dipercayai berkait krisis Negeri Sembilan ketika ini.

Balai Undang Luak Sungei Ujong
Pembesar Negeri Sembilan mengadakan pertemuan di Balai Undang Luak Sungei Ujong, Seremban, hari ini.
SEREMBAN:
Undang, Tunku Besar Tampin dan Datuk Syahbandar mengadakan pertemuan di Balai Undang Luak Sungei Ujong petang ini dipercayai bagi membincangkan krisis Negeri Sembilan ketika ini.

Pembesar terbabit adalah Maarof Mat Rashad (Jelebu); Muhammad Abdullah (Johol); Abdul Rahim Yasin (Rembau); Tunku Besar Tampin, Tunku Syed Razman Tunku Syed Idrus Al Qadri dan Datuk Syahbandar Sungei Ujong, Baharudin Abdul Khalid.

Turut hadir bekas undang Sungei Ujong Mubarak Dohak yang pemberhentiannya telah diterima Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir serta semua anggota Dewan Keadilan dan Undang (DKU).

Pertemuan berlangsung sekitar 3.30 petang berakhir 6 petang apabila semua kenderaan yang membawa pembesar terbabit keluar dari balai berkenaan.

Muhammad ketika ditemui media memaklumkan ia hanya pertemuan biasa sekadar ‘perbincangan anak beranak’.

“Bincang anak beranak saja,” katanya sebelum meninggalkan Balai Undang Luak Sungei Ujong.

Isnin lalu, Menteri Besar Aminuddin Harun berkata kerajaan negeri tidak mengiktiraf usaha menyingkirkan Tuanku Muhriz sebagai Yang di-Pertuan Besar.

Terdahulu, Mubarak yang didakwa sudah dipecat mengumumkan hasrat Undang tersebut dalam satu sidang media bersama tiga lagi ketua adat pada Ahad.

Di Negeri Sembilan, Undang Yang Empat adalah pemerintah bagi luak (daerah) beradat utama – Sungei Ujong, Jelebu, Johol dan Rembau.

Mereka adalah ketua wilayah tradisional yang memainkan peranan penting dalam memilih Yang di-Pertuan Besar serta memberi nasihat mengenai hukum adat bawah sistem Adat Perpatih negeri itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.